Sorting by

×

Jurukimia berputih mata, RM30, 000 lesap

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH, 5 April -Seorang jurukimia kerugian RM30, 000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya dia mempunyai tunggakan ‘coin base’ dalam kejadian awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, wanita terbabit berusia 37 tahun menerima panggilan daripada suspek pada 1 April lalu yang menyamar dari pihak Bank HSBC sebelum memberitahu mangsa terdapat tunggakan sebanyak RM4, 663.

Beliau berkata, wanita itu juga diberitahu ada transaksi menggunakan namanya namun mangsa menafikan pernah membuka akaun bank terbabit sebelum dia disambungkan kepada pihak ‘Bank Negara Malaysia’ bagi tujuan kemaskini maklumat.

“Mangsa kemudian diminta oleh suspek untuk membeli insurans sebagai perlindungan dan dia juga disambungkan kepada seorang pegawai polis yang meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank.

“Mangsa tanpa rasa curiga telah memberikan nama pengguna, kata laluan serta nombor TAC kepada suspek seperti yang diminta namun selepas urusan selesai dia membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati terdapat pengeluaran wang berjumlah RM30,000,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang merasakan dirinya ditipu kemudian hadir ke Balai Polis Ayer Keroh, pada keesokannya bagi membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan sebarang panggilan yang mencurigakan dan membuat semakan nombor telefon terlebih dahulu di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1209
Kongsi :
Previous post Peniaga dilema, premis terlindung sebalik khemah bazar Ramadan
Next post Bantuan khas Aidilfitri, bukti penghargaan kerajaan kepada penjawat awam – Cuepacs
Ubah saiz-+=