Sorting by

×

Jumpa tengkorak, rangka dipercayai warga emas dilaporkan hilang

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KOTA LAKSAMANA 15 Feb- Tengkorak dan rangka dipercayai lelaki warga emas dilaporkan hilang ditemui di kawasan semak bersebelahan sebuah hotel di Jalan Tengkera, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, terdahulu pada jam 5 petang pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki bekerja di kedai tayar berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah dan pasukan Siasatan Khas D9 ke lokasi kejadian.

Menurutnya siasatan di tempat kejadian menemukan kad pengenalan diri seorang lelaki Cina berusia 87 tahun yang berada dalam dompet di poket seluar berhampiran rangka yang dijumpai dalam semak.

“Tengkorak yang ditemui adalah dipercayai warga emas dilaporkan hilang oleh anak saudaranya pada 31 Jan lalu.

“Berdasarkan semakan, warga emas itu dikatakan tinggal seorang diri di Kota Laksamana dan mempunyai masalah pelupa akibat sakit tua.

“Sebelum dilaporkan hilang mangsa dipercayai berjalan ke lokasi kejadian dan terjatuh di kawasan semak samun berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata tengkorak dan rangka manusia itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi siasatan lanjut.

“Memandangkan siasatan awal tidak menemui sebarang petunjuk atau sebarang unsur jenayah, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

843
Kongsi :
Previous post RM7 juta untuk imam, bilal, noja dan guru takmir Melaka
Next post Remaja 15 tahun didakwa bunuh bayi sendiri
Ubah saiz-+=