Sorting by

×

Jumpa najis tikus dan kotor, empat dapur hotel diarah tutup

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 2 Disember – Bahagian dapur di empat hotel sekitar Bandaraya Melaka diarah tutup selama 14 hari berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan, selain penemuan najis tikus.

Arahan penutupan itu adalah hasil Operasi Penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam (Op Hotel) oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka pada 29 dan 30 November lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, sepanjang operasi dua hari itu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Unit Inspektorat dan Perundangan JKN memeriksa 40 dapur hotel sekitar negeri ini.

“Arahan penutupan dapur dikeluarkan selepas pemeriksaan dijalankan menemukan najis tikus, lalat dan lipas sudah mati pada ruangan dapur premis terbabit.

“Empat dapur hotel termasuk sebuah yang bertaraf empat bintang diarah tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tahap kebersihan yang kurang memuaskan .

“Manakala bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebanyak 14 kompaun bernilai RM10,000 dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

WhatsApp Image 2022-12-02 at 7.27.15 PM
PENGUAT KUASA JKN ketika melakukan pemeriksaan tempat pembiakan jentik-jentik di luar premis hotel dalam Operasi Penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam (Op Hotel) pada 29 dan 30 November lalu.

Dr. Rusdi berkata, pihaknya turut mengesan sarang pembiakan jentik-jentik di empat hotel dan kompuan berjumlah RM4,500 dikeluarkan kepada pemilik bangunan berkenaan.

“Kami juga melaksanakan pemeriksaan kebersihan persekitaran dalam dan luar premis hotel bagi mencegah pembiakan jentik-jentik yang boleh menyebabkan demam denggi.

“Selain itu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan kebersihan persekitaran hotel di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975) turut dikuatkuasakan,” katanya.

Tambah Dr. Rusdi, semua premis yang diperiksa mematuhi keperluan pemasangan papan tanda larangan merokok dan tiada perokok dikesan semasa operasi dijalankan.

“JKN Melaka sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan awam dan sebarang aduan awam boleh disalurkan ke Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3717
Kongsi :
Previous post PM Anwar umum dua TPM dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan
Next post TYT, Ketua Menteri meriahkan FFM32
Ubah saiz-+=