Jumlah pengunjung pasar raya meningkat kerana ‘lockdown’?
KLEBANG 21 Mei – Jumlah pengunjung di beberapa pasar raya di negeri ini dilihat sedikit meningkat pada hari ini berikutan desas-desus pelaksanaan ‘lockdown’ seluruh negara yang hangat diperkatakan kini.
Tinjauan Melaka Hari Ini di sebuah pasar raya di Klebang mendapati berlaku pertambahan bilangan pengunjung berbanding hari biasa apabila kaunter pembayaran dilihat sedikit sesak.
Hasil pemerhatian di dalam pasar raya pula mendapati tumpuan orang ramai lebih ke arah pembelian barangan keperluan rumah terutamanya barang basah seperti ikan dan sayur.
Bagaimanapun, tiada yang dilihat mengamalkan pembelian panik dengan membeli barangan melebihi had termasuk memenuhi troli mereka.
Situasi sama juga berlaku di sebuah pasar raya di Cheng, yang mana dari luar dilihat jumlah kenderaan meningkat sekali ganda berbanding hari biasa.
Bagaimanapun, tinjauan mendapati tiada kelibat orang ramai beratur panjang untuk masuk ke dalam pasar raya terbabit.
Suasana di dalam pasar raya berkenaan juga sedikit ‘meriah’ dengan pengunjung pelbagai bangsa dan agama begitu asyik memilih barangan keperluan rumah.
Namun sama seperti di Klebang, situasi di situ masih terkawal kerana tidak berlaku sebarang adegan bersesak-sesak dalam mengambil barang keperluan yang dikehendaki.
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Sabri, 42 berkata, kehadirannya di pasar raya adalah rutin mingguan untuk membeli bekalan keperluan di rumah.
Katanya, ia bukanlah disebabkan panik susulan khabar angin mengatakan negara bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau lockdown seperti diperkatakan.
“Tidak…, bukan sebab panik. Ini rutin biasa saya dan keluarga. Saya yakin sekali pun kerajaan mengumumkan lockdown, premis penting seperti pasar raya dan kedai runcit akan terus dibuka sama seperti PKP 1.0 yang lalu.
“Jadi, tiada sebab untuk berasa panik dan berbelanja berlebihan untuk sesuatu yang tidak pasti,” katanya.
Semalam, media melaporkan kerajaan akan bermesyuarat dan membincangkan cadangan pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Mesyuarat tersebut dijangka dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta semua ketua menteri dan menteri besar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.