JUMLAH PELANCONG KE MELAKA MELONJAK KEPADA 11.25 JUTA
BANDARAYA MELAKA 26 Oktober – Melaka terus terkehadapan dalam sektor pelancongan negara apabila merekodkan kehadiran 11.25 juta pelancong setakat September 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu sekali gus menunjukkan peningkatan positif sebanyak 86.56 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jelas Ketua Menteri, kebanjiran pelancong ke Melaka sepanjang tahun ini, antara lain disumbangkan menerusi penganjuran acara-acara ikonik yang telah disusun sepanjang tahun.
“Penganjuran acara-acara ikonik ini adalah strategi serampang dua mata bagi mempromosi sektor pelancongan negeri seiring dengan usaha merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua untuk bersama-sama menyokong usaha Kerajaan Negeri khususnya sempena TMM2024 dalam merancakkan lagi sektor pelancongan sekali gus memberi limpahan manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala dan Perasmian International Cultural & Arts Festival @Sungai Melaka 2024 (ICAF 2024) di Dataran Pengkalan Rama Pantai, di sini, malam tadi.
Perasmian majlis itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, ICAF 2024 yang berlangsung selama tiga hari iaitu bermula 25 hingga 27 Oktober menggabungkan tiga festival utama iaitu Festival Sungai Melaka, Festival Seni Selat Melaka dan International Folklore Arts Festival.
Jelas beliau, istimewanya tahun ini, persembahan yang ditampilkan telah menggabungkan beberapa negara dan negeri dalam Malaysia di atas satu pentas.
“Persembahan itu mempamerkan seni dan budaya Malaysia dari Melaka, Sabah, Sarawak dan Selangor bersama enam buah negara di bawah International Council Of Organizations of Folklore Festivals and Folk Arts (CIOFF) seperti Filipina, Indonesia, Uzbekistan, Thailand dan Korea Selatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.