Jumlah korban di Masjid Tengkera meningkat walaupun lembu, kambing mahal

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TENGKERA 9 Julai – Meskipun berlaku kenaikan harga lembu dan kambing, namun kuantiti haiwan yang akan dikorbankan sempena Aidiladha di Masjid Tengkera meningkat.

Setiausaha Masjid Tengkera Abdul Rashid Haron berkata pada tahun ini sebanyak 18 ekor lembu dan 27 ekor kambing akan dikorbankan pada esok.

Katanya, kuantiti itu meningkat berbanding hanya 13 ekor lembu dan 17 ekor kambing sahaja yang ditumbangkan tahun lalu.

“Alhamdulillah meskipun harga haiwan korban meningkat dan bahan mentah seperti yang dikeluarkan di berita-berita saban hari memainkan isu harga barangan meningkat namun kuantiti haiwan korban pada tahun ini turut meningkat.

“Ramai kariah seolah ‘membalas dendam’ dapat melaksanakan ibadah korban ini secara normal berbanding ketika zaman pandemik tahun lalu.

“Syukur, dengan jumlah haiwan korban meningkat, kira-kira 2,000 pek daging haiwan korban dapat diagihkan kepada kariah di bawah Masjid Tengkera ini,” katanya ketika di temui di masjid tersebut hari ini.

AJK Masjid Tengkera mengangkat peralatan khas untuk ibadah korban esok.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di masjid tersebut mendapati kira-kira 10 Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Tengkera sedang melakukan gotong-royong pembersihan dan membuat persiapan untuk melaksanakan ibadah korban esok hari.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata bekas masjid negeri itu telah dibenarkan oleh Jabatan Vaterinar negeri untuk melaksanakan penyembelihan bagi pelaksanaan ibadah korban.

“Kita jangkakan haiwan-haiwan korban akan tiba selepas Maghrib dan kita juga telah memastikan akan ada wakil dari AJK untuk berjaga sepanjang malam di masjid memantau haiwan-haiwan korban.

“Seramai 150 ahli khidmat korban yang akan menjalankan aktiviti ibadah esok hari, dari menyembelih, melapah, membungkus dan senarai nama edaran daging.

“Alhamdulillah, tahun ini kita diberi kebenaran dengan kapasiti penuh untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya.

ABDUL Rasyid menunjukkan lubang saliran darah haiwan korban di tempat penyembelihan Masjid Tengkera.

Abdul Rashid berkata pernah satu masa kira-kira lima tahun kebelakangan Masjid itu pernah menerima haiwan korban sehingga mencecah 29 ekor lembu dan 20 ekor kambing.

Dia turut memaklumkan, pada tahun ini Masjid Tengkera hanya melaksanakan ibadah korban di masjid tersebut pada hari pertama Aidiladha sahaja iaitu esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1740
Kongsi :
Previous post Jemaah terkandas di KLIA: Polis terima 57 laporan, kerugian lebih RM2.37 juta
Next post Kanak-kanak hilang dipercayai sesat di hutan atau jatuh sungai
Ubah saiz-+=