Sorting by

×

Jumlah kehadiran ahli Parlimen diputuskan minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

JOHOR BAHRU 18 Julai – Keputusan sama ada mengehadkan hanya 80 ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat seperti yang dibuat pada persidangan sebelum ini, akan diputuskan pada minggu depan sebelum persidangan khas dewan bermula 26 Julai ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan ketua-ketua whip yang mewakili parti politik masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, ia sebagai langkah untuk mencegah penularan COVID-19.

MOHD RASHID.

“Setiap menteri dan timbalan menteri juga akan dihadkan membawa staf mungkin dua atau tiga orang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melakukan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang, di sini hari ini.

Dalam persidangan dewan sebelum ini hanya 80 Ahli Parlimen – 41 daripada pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas dibenar menghadiri persidangan, namun ke semua ahli Parlimen boleh memasuki dewan ketika sesi pengundian.

Mohd Rashid juga berharap semua yang terlibat dengan persidangan Dewan Rakyat dapat mematuhi SOP susulan situasi COVID-19 yang mencatatkan lima angka kes positif pada masa ini.

Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini menyebut sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

550
Kongsi :
Previous post COVID – 19 mustahil buatan manusia- Pakar
Next post COVID: 10,710 kes baharu, Selangor kekal tertinggi lebih 4,000 kes
Ubah saiz-+=