Julai tempoh yang genting buat PICK – KJ
KUALA LUMPUR 3 Julai – Tempoh tiga bulan akan datang menjadi waktu yang kritikal bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana pada waktu tersebut, Malaysia akan mula menerima bekalan dos vaksin dalam jumlah yang sangat besar.
Sebagai perbandingan katanya, jumlah vaksinasi yang telah dicatatkan sejak PICK bermula pada Februari yang lalu adalah sekitar lapan juta dos.
“Tetapi bagi bulan Julai ini sahaja, kita bakal menerima bekalan vaksin lebih daripada 12 juta dos.
“Sudah pasti bulan Julai akan menjadi tempoh yang genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di seluruh negara,” katanya kepada media menerusi rakaman video berdurasi tujuh minit 46 saat hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sebelum ini beliau telah menyuarakan tentang ketidak adilan pengagihan vaksin yang telah berlaku di peringkat dunia.
Pandangan yang sama juga katanya, telah dinyatakan oleh banyak negara membangun yang lain termasuklah juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beberapa negara sudah mula berusaha untuk memperbetulkan ketidak adilan ini dengan memberikan sumbangan vaksin.
“Kita telah menerima sumbangan satu juta dos vaksin AstraZeneca daripada Jepun dan dalam tempoh terdekat, kita juga akan menerima sumbangan vaksin daripada negara Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.