Jualan tiket lebih sistematik, utamakan keselamatan pengunjung
BANDA HILIR 13 Julai – Orang ramai mula membanjiri perkarangan Menara Taming Sari Berhad (MTSB) seawal jam 8 malam tadi bagi membeli tiket serendah RM10 bersempena Program Melaka Bila Larut Malam.
Pegawai Pemasaran MTSB, Mohd Azri Abdul Razmi berkata pihaknya hanya menyediakan 1,500 tiket sahaja untuk program terbabit demi keselesaan pengunjung.
Katanya, ia juga bagi mengambil kira kaedah yang lebih sistematik dan teratur.
“Kelainan ditonjolkan MTSB pada edisi kedua Program Melaka Bila Larut Malam adalah dengan membawakan jualan Pesta Durian.
“Sebanyak enam khemah yang menjual raja buah dengan harga serendah RM12 satu kilogram.
“MTSB menggabungkan sekali kelainan untuk Program Bila Larut Malam dan Program Car Free Zone yang telah bermula sejak Jumaat petang,” katanya ketika ditemui di MTSB malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Azri berkata edisi kedua Program Bila Larut Malam di MTSB lebih mengutamakan keselamatan pengunjung.
Jelasnya ia memandangkan pada edisi pertama ramai pengunjung terpaksa beratur panjang dan mahu membeli seawal jam 6 petang.
“Keselamatan dan keselesaan pengunjung adalah keutamaan kami. Jadi edisi kedua ini kita memang akan buka kaunter menjual tiket RM10 bermula jam 10.30 malam seterusnya membenarkan mereka naik ke menara ikonik ini pada jam 11 malam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.