Sorting by

×

Jualan Rahmah jadi tumpuan orang ramai pada Program Jiwa Madani

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

MELAKA, 27 Jan — Gerai jualan beras tempatan menjadi tumpuan orang ramai pada Jualan Rahmah sempena Program Jiwa MADANI yang dianjurkan di Kampung Sungai Putat di sini hari ini.

Pekerja sektor pembersihan Dara Ayu Daud, 52, dari kampung itu berkata beliau hadir ke program jualan berkenaan seawal 9 pagi untuk membeli beras tempatan 10 kilogram (kg) yang dihadkan sekampit untuk seorang pengunjung.

“Saya tahu tentang Jualan Rahmah hari ini daripada kumpulan WhatsApp, jadi awal-awal memang datang ke sini dan perlu beratur untuk membeli beras selain telur dan barangan asas lain seperti minyak, tepung, gula dan bihun.

“Jualan Rahmah antara yang kami sering nantikan terutama untuk membeli beras kerana harga di pasar raya atau kedai biasa lebih mahal berbanding yang dijual pada program ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Antara barangan dijual pada program itu termasuk beras tempatan 10 kg pada harga RM26 sekampit, pakej empat barangan keperluan iaitu minyak masak, bihun, gula dan telur pada harga RM10 dan telur gred C RM10 sepapan.

Nur Faizatul Mohd Fuzi, 23, yang tinggal di kampung sama berkata beliau berharap jualan beras pada program seumpama itu tidak dihadkan hanya satu kampit bagi seorang pengunjung kerana makanan ruji itu merupakan keperluan asas, selain sukar diperoleh pada harga murah di pasaran.

“Jualan Rahmah memang sangat bagus dilaksanakan dan diperluaskan di semua tempat bagi memudahkan rakyat membeli bekalan beras pada harga lebih murah… harap lepas ini jualan beras tidak dihadkan sekampit untuk seorang.

“(Ahli) Keluarga saya ramai, hari-hari kena masak, datang ke program ini semata-mata hendak beli beras dan minyak masak peket,” kata peniaga makanan itu.

Ibu tunggal Mariam Othman, 63, pula berkata jualan barangan keperluan asas pada Jualan Rahmah sangat membantu golongan sepertinya mengurangkan perbelanjaan kerana harga barangan yang dijual jauh lebih murah berbanding di pasar raya.

Ibu kepada empat anak itu berkata Jualan Rahmah sentiasa dinantikan dan beliau tidak akan melepaskan peluang ke program itu sekiranya dianjurkan berhampiran rumah.

Terdahulu, Program Jiwa MADANI yang dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyediakan beberapa reruai antaranya Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Jualan Rahmah dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pelbagai agensi termasuk di bawah Kementerian Komunikasi bagi membantu masyarakat setempat.

— BERNAMA

    

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1496
Kongsi :
Previous post Kapal persiaran berlabuh, isyarat positif untuk TMM2024
Next post 50 periuk Ponggal curi perhatian pelancong
Ubah saiz-+=