Jualan murah, pertunjukan bunga api serikan ambang merdeka Melaka
AYER KEROH 18 Ogos – Orang ramai dijemput memeriahkan Majlis Sambutan Ambang Merdeka di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, pada 30 Ogos ini.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik khusus untuk orang ramai.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, majlis yang bermula pada jam 8.30 malam itu akan turut diserikan dengan persembahan artis popular tanah air.
“Kelainan Ambang Merdeka pada tahun ini, kita turut bawakan Jualan Agro Madani Merdeka di tapak Dataran Sejarah Ayer Keroh yang akan menawarkan jualan harga murah kepada pengunjung.
“Selain itu, akan diadakan juga persembahan bunga api pada detik 12 tengah malam, selain pelbagai aktiviti menarik sempena Bulan Kebangsaan.
“Majlis itu akan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Melaka Mall, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata Jualan Agro Madani Merdeka itu akan dijalankan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang mana ia akan berlangsung selama lima hari, bermula 30 Ogos hingga 3 September.
“Program jualan itu akan bermula pada awal pagi sehingga tengah malam dan pelbagai barangan keperluan boleh didapati dengan harga murah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.