Sorting by

×

JUALAN MANTAI AIDILFITRI MEGA DI DUYONG

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

DUYONG 25 Mac – Orang ramai yang ingin membeli barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri dipelawa untuk hadir ke Jualan Rahmah Mantai Aidilfitri yang diadakan di tapak parkir Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, Duyong pada 29 Mac ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, tidak seperti Jualan Rahmah biasa, program kali ini lebih besar di mana Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong telah dipilih sebagai lokasi penganjuran bagi peringkat daerah Melaka Tengah.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, program itu akan diadakan bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang dengan pelbagai jenis barangan dijual pada harga jauh lebih murah.

“Pastinya antara barangan-barangan yang dibawa adalah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri seperti ayam, daging, dan pelbagai lagi barangan mentah yang lain, selain beras dan minyak masak peket juga akan dijual.

“Bukan hanya orang Duyong sahaja tetapi seluruh Melaka dijemput untuk hadir untuk memanfaatkan program jualan murah yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Moreh Bersama Media yang diadakan di Japerun Duyong, di sini, malam tadi.

Menurut Mohd Noor Helmy, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan barangan yang dibawa dalam program tersebut adalah maksimum dan mencukupi untuk orang ramai.

Beliau turut meminta pengunjung untuk merancang perjalanan mereka ke lokasi memandangkan program itu bukan hanya berlangsung pada sebelah pagi, bahkan hingga ke petang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post ‘SYURGA’ BELI-BELAH BAHARU DI MELAKA
Next post MARITIM MALAYSIA TINGKATKAN OPERASI DI SELAT MELAKA MENJELANG AIDILFITRI