Sorting by

×

JUALAN MADANI KOPERASI MELAKA PADA 25 MAC INI

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KESIDANG 18 Mac – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka akan menjalankan Jualan Madani Koperasi pada 25 Mac ini.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor berkata jualan terbabit akan dijalankan dalam perkarangan Menara Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Katanya, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan dijadual bermula pada jam 10 pagi.

“Jualan Madani Koperasi ini seperti Jualan RAHMAH, di mana kita akan menjual barangan asas yang harganya 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Manakala pihak KEMAS akan membuat jualan seperti Bazar Aidilfitri, di mana terdapat beberapa usahawan di bawah KEMAS akan membuka reruai untuk menjual pelbagai persiapan menjelang Syawal nanti.

“Jadi kita harap orang ramai boleh hadir membeli persiapan menjelang Aidilfitri nanti pada 25 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang bersama Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin di Rumah Pangsa Kampung Padang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal turut memaklumkan pihaknya akan mengedarkan bubur lambuk serta walkabout di Pasar Ramadan MITC di Masjid Al-Alami pada tarikh tersebut.

“Ini memandangkan pasar Ramadan tersebut merupakan satu-satunya pasar Ramadan yang dikendalikan oleh Koperasi Masjid dalam negeri ini,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post PENGAYUH BECA TIDAK DILUPAKAN KERAJAAN MELAKA
Next post BUSANA AIDILFITRI UNTUK ANAK ASNAF