Sorting by

×

Jualan jeruk mangga mampu raih lebih RM600,000 sebulan!

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 9 Mac – Siapa sangka, jualan jeruk mangga di lampu isyarat yang semakin menjadi trend hari ini sebenarnya mampu memberi hasil jualan yang cukup lumayan sehingga lebih RM600,000 sebulan.

Perkiraan itu, berdasarkan pengakuan pembekal buah di dalam botol itu di negeri ini yang mampu menjual 15,000 botol seminggu dengan harga jualan sebotol RM10.

Jika dihitung, ia bermakna pengusaha ini mampu meraih pendapatan sehingga RM150,000 seminggu atau lebih RM600,000 sebulan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, perkara itu didedahkan sendiri beberapa pengusaha yang ditemuinya ketika mengadakan perbincangan lanjut mengenai potensi perniagaan itu bersama mereka.


PENJUALAN jeruk mangga di lampu isyarat yang semakin menjadi trend termasuk di Melaka hari ini mampu memberi hasil jualan yang cukup lumayan sehingga lebih RM600,000 sebulan. Foto: MR Azli

“Sebelum ini, kita pernah mengadakan pertemuan bersama lima pengusaha jeruk mangga di pejabat MPHTJ bagi membincangkan mengenai penyelesaian lokasi jualan makanan itu.

“Kita mencadangkan supaya penjual jeruk berkenaan membuka gerai jualan di kawasan bersesuaian termasuk di parkir kereta pasar raya atau di tepi jalan yang lebih selamat.

“Bagaimanapun, rata-ratanya tidak bersetuju kerana mereka memaklumkan anggaran purata jualan yang boleh diperolehi mencecah sehingga 15,000 botol setiap minggu,” katanya ketika dihubungi di Melaka Hari Ini (MHI), di sini.

Katanya, kebanyakan pengusaha yang ditemui menghasilkan jeruk mangga dari luar negeri Melaka dan mendakwa negeri ini memberi hasil jualan yang lumayan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman

Mengulas lanjut, sepanjang tempoh Januari hingga Februari lalu, Shadan berkata MPHTJ hanya mengeluarkan notis atas kesalahan berniaga tanpa lesen sebagai peringatan kepada penjual jeruk mangga berkenaan.

“Buat masa ini kita belum mengeluarkan sebarang kompaun terhadap mereka,” katanya.

  • Berita penuh dalam laporan Melaka Hari Ini Edisi 40, Isnin 15 Mac 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3869
Kongsi :
Previous post MUFC tak rela hilang mata di Petaling Jaya
Next post Polis akan rekod keterangan suspek dakwa 200 ahli SUK Kelantan potong barisan vaksin
Ubah saiz-+=