Jualan Ihsan Rahmah di Melaka, 24 Januari ini
BANDA HILIR 14 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan program Jualan Ihsan Rahmah buat julung kalinya di Melaka pada 24 Januari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Katanya, program Jualan Ihsan Rahmah merupakan salah satu komponen baharu di bawah Payung Rahmah dengan kerjasama daripada pihak swasta dan industri.
“Program Jualan Ihsan Rahmah ini akan dilancarkan di Melaka bersempena TMM2024 pada 24 Januari ini, namun pemilihan lokasinya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Program baharu ini merupakan penglibatan pihak swasta dan industri yang akan diperkasakan dengan membuka ruang kepada inisiatif dan program yang dirintis serta diperkenalkan sendiri oleh pihak swasta dan industri berbentuk sumbangan ihsan kepada komuniti.
“Program ini juga sudah pasti bertujuan untuk terus memperkasa konsep Payung Rahmah dan menjadi satu daripada strategi menggerakkan agenda menangani kos sara hidup rakyat tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi walkabout pemantauan penguatkuasaan di Jonker Walk, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin bersama timbalannya, Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, perincian lanjut mengenai Jualan Ihsan Rahmah akan dimaklumkan pada majlis pelancaran berkenaan.
“Majlis pelancaran program Jualan Ihsan Rahmah ini akan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.