Jualan Agro Madani tangani kos sara hidup, tingkat pendapatan usahawan – FAMA

Masa Membaca:3 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Julai –  Pelaksanaan Jualan Agro MADANI mampu membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup di samping meningkatkan pendapatan usahawan tempatan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata 5,000 Jualan Agro MADANI disasar dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini dengan nilai jualan RM39 juta melibatkan 46,000 usahawan. 

Beliau berkata 6.4 juta isi rumah golongan B40 dan M40 akan menikmati penjimatan berjumlah RM11.5 juta menerusi program jualan terus itu yang merupakan antara inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam mengurangkan kos sara hidup.

“Dalam keadaan ini, kita membantu petani menjual dan kita menggunakan (program ini) untuk mengurangkan kos sara hidup melalui diskaun yang diberikan dan juga kita menawarkan jualan kombo yang boleh menjimatkan 10 hingga 30 peratus (berbanding harga pasaran).

“Bukan hanya Jualan Agro MADANI, tetapi juga jualan di pasar tani memang kita bawa terus (produk-produk) pengeluar kepada pengguna jadi kita mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Fokus Jualan Agro MADANI di seluruh negara pada tahun ini adalah untuk menjamin ketersediaan bekalan agromakanan dan memberi pilihan kepada pengguna mendapatkan bekalan agromakanan pada harga yang berpatutan.

Program Jualan Agro MADANI merupakan penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang telah dilaksanakan oleh KPKM melalui FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Abdul Rashid berkata dua peranan utama FAMA dalam mengurangkan kos sara hidup melalui pemerkasaan bekalan agromakanan negara ialah membantu pihak pengeluar, petani dan usahawan meraih pendapatan sekali gus mengurangkan kos sara hidup di peringkat pengguna.

Ditanya mengenai senario semasa bekalan agromakanan negara dan ketersediaan bekalan agromakanan kepada pengguna, beliau berkata bekalan agromakanan pada ketika ini terutama barangan segar termasuk sayuran, ikan, ayam dan telur adalah stabil berbanding beberapa bulan sebelum ini. 

“(Bagaimanapun), senario bekalan luar iaitu senario pasaran antarabangsa kita dapat lihat imbangan dagangan makanan kita masih negatif maksudnya kita lebih banyak mengimport berbanding mengeksport.

“Bila dilihat secara terperinci kebanyakan yang kita import ialah input-input (produk) yang kita gunakan untuk pengeluaran dalam negara, contohnya jagung dan kacang soya yang digunakan untuk makanan ternakan. Input ini terpaksa kita bawa (import) sebab kita tak dapat mengeluarkannya dengan banyak di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata selain itu, antara cabaran yang dihadapi dalam isu bekalan agromakanan dalam negara ialah ketidakseimbangan dari segi bekalan dan permintaan pada satu-satu masa.

Katanya, perkara ini boleh menyebabkan lebihan bekalan sekiranya berlaku pengeluaran input yang banyak dalam tempoh singkat dan permintaan yang rendah atau peningkatan harga sekiranya permintaan melebihi pengeluaran. 

Sementara itu, Abdul Rashid berkata dalam mempromosi industri pertanian bagi menggalakkan penglibatan golongan muda, FAMA terlibat dalam program yang berbentuk pemasaran iaitu Agropreneur Muda untuk memberi peluang kepada golongan muda terlibat dalam pemasaran secara dalam talian dan fizikal.

“Fizikal bermaksud mereka menjual di ruang-ruang pasaran yang FAMA ada seperti di pasar tani, pasar tani kekal, MyFarm Outlet dan sebagainya …. Kita juga menggalakkan mereka masuk dalam perniagaan dalam talian, kita ada Agro Bazaar Online.

“Dalam program ini, usahawan muda dan sesiapa juga kita tak hadkan kita akan beri latihan secara percuma jadi mereka akan belajar dari A hingga Z untuk meniaga secara dalam talian,” katanya dan menambah pihak yang berminat boleh berhubung terus dengan pihak FAMA di pejabat atau melawat portal FAMA.

Program Agropreneur Muda diwujudkan untuk golongan muda yang berumur antara 18 hingga 40 tahun, bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti di sepanjang rantaian nilai sektor pertanian seperti pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan serta industri makanan dan asas tani. 

Antara inisiatif di bawah program ini ialah Geran Agropreneur Muda yang merupakan bantuan berbentuk barangan atau peralatan dengan nilai maksimum RM20,000 bagi setiap individu dan tidak perlu dibayar balik.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1321
Kongsi :
Previous post Mekanik maut nahas pokok tumbang
Next post Laksana inisiatif universiti angkat kongsi ilmu robotik – Exco
Ubah saiz-+=