Sorting by

×

Jual senapang tiruan berharga RM3,500, pengendali kren ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 6 Jan – Seorang pengendali kren ditahan bersama tujuh laras senapang angin tiruan dalam serbuan di sebuah rumah, di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek lelaki berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.15 petang hasil risikan yang dijalankan pasukan polis.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis merampas tujuh laras senampang angin menyerupai senjata sebenar selain peralatan senjata itu termasuk peluru.

“Siasatan dijalankan mendapati senjata ini diimport oleh suspek dari luar negara secara tidak sah sebelum dibawa ke rumahnya untuk pembungkusan sebelum dijual.

“Senapang itu dijual dengan harga RM3,500 setiap satu dan suspek dikatakan akan mengajar cara pemasangan menggunakan video kepada pelanggannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Azlan Abu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, petang tadi.

PERALATAN senapang angin tiruan yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki berusia 37 tahun di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut beliau, semakan turut mendapati suspek adalah penjenayah tegar selain turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kesalahan sama.

“Dia ini licik kerana tidak mengiklankan di media sosial sebaliknya menggunakan kenalan untuk mencari pelanggan.

“Suspek dipercayai sudah terbabit dengan kegiatan ini sejak dua tahun lalu dan sudah menjual empat hingga lima laras senapang itu,” katanya.

Abdul Majid berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan senapang angin tiruan itu digunakan untuk tujuan jenayah kerana peluru digunakan boleh menyebabkan kematian.

“Ia bukan peluru biasa tetapi boleh sebabkan kematian malah uji tembak dilakukan mendapati ia boleh mengancam nyawa.

“Polis jugs kini sedang mengesan pembeli selain akan memanggil mereka untuk tujuan siasatan selain bagaimana peralatan senjata tiruan itu dibawa masuk ke negara inj juga masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu kren kini direman sehingga 8 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1913
Kongsi :
Previous post Tiga masjid warisan terjejas banjir akan dibaik pulih segera – PERZIM
Next post Nasib warga emas tinggal di rumah tak berbumbung dapat perhatian
Ubah saiz-+=