Jual kupang tambah pendapatan
TANJUNG BIDARA 1 Ogos – Nelayan tidak boleh hanya bergantung kepada hasil tangkapan ikan, ketam dan udang, sebaliknya harus mempelbagaikan sumber rezeki untuk menyara keluarga.
Itu dipraktikkan Abdul Rahim Azali, 35, dan Ibrahim Hassan, 48, dengan menjual kupang bagi meraih pendapatan sampingan.
Pada ketika musim tangkapan berkurangan berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan, mereka mencari kupang melekat pada tiang rumah api atau ponton pengangkut pasir laut.
Abdul Rahim berkata, dia dan Ibrahim menaiki perahu gentian kaca dari Pangkalan Nelayan Kampung Pengkalan Balak ke tempat bot tunda dan ponton pengangkut pasir berlabuh berhampiran Jeti Nelayan Telok Gong, Kuala Sungai Baru, dekat sini.
“Kami mengetuk kupang yang melekat pada ponton dan tiang rumah api untuk menanggalkannya sebelum dimasukkan di dalam guni.
“Bukan mudah untuk menanggalkan kupang kerana ia sudah melekat terlalu kuat tetapi alhamdulillah dengan pengalaman kami mampu mendapat antara 30 hingga 40 kilogram (kg) kupang sekali turun ke laut,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan itu, hari ini.
Dia berkata, kupang perlu dibersihkan daripada batu karang dan lumpur yang melekat padanya sebelum dijual pada harga RM6 sekilogram.
Katanya, kerja mengikis batu karang dan lumpur melekat pada kupang harus dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan cengkerang kupang terkopek atau pecah.
Sementara itu, Ibrahim berkata, kupang segar mendapat permintaan tinggi terutama penggemar menu kupang dimasak lemak dengan belimbing.
“Walaupun kupang hanya dijual serendah RM6 sekilogram, ia dapat memastikan nelayan tidak terputus wang belanja harian,” katanya.
Katanya, kupang baharu hanya muncul semula di ponton atau tiang selepas tiga bulan dituai dan nelayan terpaksa mencari kupang di lokasi lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.