
JUAL KOLEKSI BARANG ANTIK DEMI KELANGSUNGAN HIDUP
DUYONG 11 Mac – Meskipun berat, Mohamad Nasirudin Md Zen, 39, terpaksa akur dan sedia untuk menjual sebahagian koleksi barangan antik miliknya demi meneruskan kelangsungan hidup selepas disahkan menghidap kanser hati tahap empat.
Tahap kesihatan yang semakin merosot sejak empat bulan lalu menyebabkan Mohamad Nasirudin, tidak lagi berdaya untuk bekerja hingga terpaksa melepaskan ‘harta’ berharga dalam senarai koleksinya seperti motosikal klasik Yamaha Pasolla dan Yamaha YB.
Jika sebelum ini Mohamad Nasirudin yang aktif dalam sukan ragbi lincah diatas padang, namun kini pergerakannya amat terbatas dan sebagai bapa dia juga berasa terkilan kerana tidak mempunyai kekuatan untuk melayan kerenah anak lelakinya yang ingin bermanja.
“Bila tengok orang lain bersama anak-anak mereka hancur hati ini malah saya sendiri tiada daya selain terpaksa serahkan tugas membawa anak bersiar-siar kepada adik-beradik.
“Sebelum ini saya menyara keluarga dengan bekerja sebagai penghantar barang, tetapi sekarang sudah tidak kuat lagi. Walaupun amat berat untuk melepaskan barangan dikumpul sejak sekian lama namun saya terpaksa kerana tiada cara lain untuk mendapatkan duit belanja,” katanya yang menetap di Kampung Jambatan Duyong, di sini.

Menurutnya, berikutan itu dia kini mengharapkan isterinya Norhayati Hassan, 42, untuk menguruskan keperluan hariannya termasuk menjaga anak lelaki mereka berusia tujuh tahun.
Mohamad Nasirudin berkata, masalah kanser hati dihidapi dikesan pada Aidilfitri tahun lalu susulan pemeriksaan kesihatan dilakukan selepas dia mengalami sakit perut berpanjangan.
“Semuanya berlaku secaa mengejut, selepas pemeriksaan doktor memaklumkan sel kanser mula merebak ke bahagian hati. Saya reda dengan ujian ini, namun apa merisaukan sekarang adalah tahap kesihatan saya semakin merosot. Sekarang saya kerap mengalami kesukaran bernafas, cepat letih dan hilang selera makan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.