‘Jual gajus, cornflakes untuk sara hidup’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDA HILIR 9 Ogos – “Pada awalnya boleh la saya gunakan wang simpanan, tapi PKP ni dah makan tahun jadi wang yang ada pun dah ‘kering’ sampai ada barang yang terpaksa digadaikan.”

Itu luahan seorang peniaga di Medan Samudera, Effendy Rosli, 40, yang berhadapan situasi getir mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Katanya, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia terpaksa mencari alternatif lain dengan menjual barangan makanan untuk menampung hidup.

FOTO gajus dan cornflakes yang dijual Effendy.

“Saya memang ada kedai kraftangan Tams Collections ni sejak 2004, namun terpaksa beralih perniagaan apabila tidak dapat lagi beroperasi.

“Kedai kraftangan ini memang pendapatan saya sepenuhnya, tapi nak harapkan jual kraftangan waktu ni siapa yang mahu beli sebab itu saya tukar kepada jualan gajus dan cornflakes.

“Alhamdulillah setiap hari ada lah empat ke lima balang gajus dan cornflakes yang terjual dan diposkan.

“Setiap satu bekas RM24 (400 gram), setakat ini jualan saya dah sampai ke Sabah, Penang, Kelantan, Terengganu dan lain-lain negeri,” katanya.

DERETAN kedai yang ditutup dengan kanvas berikutan tidak lagi beroperasi.

Ditanya mengenai kerugian sepanjang PKP, Effendy masih mempunyai hutang yang belum dilangsaikan dengan pihak pembekal.

“Barang kraftangan yang belum dijual di kedai masih banyak, jumlah keseluruhan dalam RM10,000 dan terpaksa simpan saja sampai la kedai boleh buka semula.

“Saya ada juga jumpa dengan pembekal sebab masih ada barang belum dibayar, tapi alhamdulillah dia faham dan tunggu kedai boleh operasi semula baru bayar,” katanya ketika dihubungi MHI.

TAMS Collection yang merupakan kedai kraftangan Effendy sejak 2004.

Effendy berkata, biarpun tidak dapat meneruskan operasi kedai seperti biasa, namun itu bukan halangan untuknya terus mencari rezeki.

“Saya tinggal bersama kakak dan emak, rumah perlu bayar sewa sebab itu gagahkan diri cari rezeki.

“Masa awal-awal niaga pun ada saudara bantu bagi modal RM500 untuk beli barang niaga sikit-sikit, alhamdulillah dalam sebulan lebih niaga nampak respon positif,” katanya yang menetap di Padang Temu, dekat sini.

Terdahulu, Melaka Hari Ini (MHI) melakukan tinjauan di Medan Samudera dan mendapati kawasan itu sunyi serta suram selain dipenuhi kain kanvas yang menutupi kedai-kedai yang sudah tidak beroperasi lagi.

Kira-kira 100 peniaga di kawasan itu terpaksa menanggung kerugian apabila perniagaan mereka tidak boleh beroperasi sepanjang PKP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1433
Kongsi :
Previous post Kecacatan tidak halang anggota tentera derma darah
Next post Sambutan maal hijrah disambut sederhana, penuh kesyukuran
Ubah saiz-+=