Jual emas, tapi sorok harga
KOTA LAKSAMANA 13 Okt – Padah tidak mempamerkan harga semasa jualan emas, dua kedai emas di Kampung Jawa, di sini, dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, kesalahan itu dikesan dalam Operasi Kedai Emas yang dijalankan pihaknya bermula hari ini.
Katanya, dua premis berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) yang mana kertas siasatannya sudah dibuka dan boleh didenda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Norena berkata, selain kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, pihaknya turut memeriksa alat timbangan yang digunakan bagi memastikan tiada sebarang unsur penipuan dilakukan peniaga.
Bagaimanapun, katanya, tiada kesalahan membabitkan alat timbangan dikesan dalam pemeriksaan di lima premis hari ini.
“Operasi kedai emas ini adalah satu inisiatif KPDNHEP Melaka untuk memastikan semua peniaga mematuhi undang-undang dan peraturan bagi mengelakkan penindasan kepada pengguna tatkala harga emas dunia sedang mengalami trend penurunan.
“Antara fokus utama pemeriksaan membabitkan alat timbangan emas yang perlu dikemaskini oleh semua pemilik premis setiap tahun.
“Selain itu mereka juga wajib mempamerkan tanda harga jualan di premis dan tag harga pada barang kemas yang dijual sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan di beberapa kedai emas sekitar Kampung Jawa, hari ini.
Mengulas lanjut, Norena berkata, pihaknya akan menjalankan operasi tersebut selama seminggu bermula hari ini ke atas kira-kira 75 kedai emas di seluruh negeri Melaka.
Beliau turut menasihati pengguna agar tidak membeli barang kemas secara dalam talian susulan terdapat beberapa laporan membabitkan penipuan barang kemas yang dibeli pengguna di beberapa negeri.
Katanya, jika mengesan penipuan secara dalam talian atau di premis, pengguna boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 atau melalui Whatsapp di talian 019-2794317.
“Orang ramai juga boleh datang ke pejabat kami di Tingkat Wisma Persekutuan MITC, Ayer Keroh yang dibuka setiap hari dan hanya perlu mengemukakan bukti-bukti penipuan untuk kita menjalankan siasatan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.