Sorting by

×

JUAL BOT LAMA ATAU GUNA UNTUK TUAI HASIL KUPANG, KERANG

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SUNGAI RAMBAI 23 Disember – Nelayan di negeri ini kini mempunyai pilihan sama ada menjual atau terus menggunakan bot lama milik masing-masing untuk menuai hasil kerang dan kupang di beberapa lokasi sekitar perairan Selat Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengumumkan perkara itu selepas mendapat kebenaran daripada jawatankuasa Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Jelasnya, sebelum ini mengikut undang-undang dikuatkuasakan DOF, nelayan perlu melupuskan bot lama jika bercadang untuk bertukar kepada bot baharu.

“Namun syarat itu menimbulkan keresahan dalam kalangan nelayan, tetapi bagi pihak Kerajaan Negeri usaha dapat dilaksanakan untuk membantu adalah terhad berikutan bidang undang-undang adalah di bawah Kerajaan Pusat menerusi DOF.

“Berikutan itu kita bawa satu usul ke peringkat pusat untuk mereka lihat bagaimana undang-undang ini boleh dilonggarkan sedikit. Alhamdulillah minggu lalu jawatankuasa dasar DOF bersetuju dengan cadangan kita, selepas ini bot lama milik nelayan tidak perlu dipotong dan boleh terus digunakan, akan ada pekeliling baharu berhubung hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Sumbangan Sagu Hati Kepada Pengusaha Dwicengkerang (Kupang dan Kerang) Yang Terjejas Akibat Larangan Penuaian dan Penjualan Hasil Ternakan di Jeti Nelayan Kuala Sebatu di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia; Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib.

Katanya, cadangan itu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada nelayan yang lain khusus mereka kurang berkemampuan untuk membeli bot pada harga lebih murah.

“Bot yang lama itu kita boleh jual kepada nelayan lain dengan harga lebih murah, jadi tidak membazir sebab untuk beli bot baharu memerlukan kos yang tinggi.

“Jika DOF setuju ia akan memberikan satu kelegaan dan kegembiraan kepada nelayan-nelayan kita yang sudah lama dalam bidang ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

61
Kongsi :
Previous post SAGU HATI UNTUK PENGUSAHA KUPANG, KERANG
Next post MIHF’24 CATAT NILAI JUALAN LEBIH RM6.2 JUTA
Ubah saiz-+=