Sorting by

×

JUAL 5,000 ANEKA KUIH SETIAP HARI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PENGKALAN BATU 3 Mac – Pejam celik, pejam celik, sudah 14 tahun Siti Suhana Bustaman, 35, berniaga di pasar Ramadan dengan menawarkan pelbagai jenis kuih tradisional menggunakan resipi hasil carian di enjin carian ‘Google’ dan ‘Youtube’.

Mungkin terdorong ibu bapanya yang juga aktif dalam perniagaan makanan dia tidak mudah berputus asa meskipun eksperimen atau cubaan menghasilkan kuih berpandukan video di Youtube pada awalnya tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.

Kini setiap kali Ramadan, seawal jam 7 pagi dia sudah mula sibuk menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk menyiapkan pelbagai jenis kuih tradisional yang masih ada ramai peminatnya.

Antara kuih yang dihasilkan adalah lepat ubi, lepat pisang, lepat labu santan, tepung bungkus, abuk sagu gula Melaka, pulut inti dan pulut panggang, semuanya menggunakan daun pisang yang segar serta asli.

“Kalau seorang memang tidak terdaya jadi saya ambil beberapa orang pembantu, setiap hari sepanjang Ramadan saya hasilkan 5,000 biji kuih.

“Setiap jenis kuih sekurang-kurangnya ada 800 biji, proses penghasilan dari awal hingga siap diuruskan oleh beberapa pembantu. Kuih-muih yang dihasilkan menggunakan daun pisang ini harganya sebiji RM1.30 setiap satu tetapi jika mereka beli lima biji harganya adalah RM6,” katanya ketika ditemui di gerainya di Pasar Ramadan Peringgit.

Whatsapp Image 2025 03 03 At 1.52.49 Pm (1)
MOHD Hairulnizam Ramli,35, menunjukkan kuih lepat ubi yang dijual di Pasar Ramadan Peringgit.

Anak kelima daripada enam adik-beradik ini berkata, bosan menjadi suri rumah juga antara faktor mendorong dirinya untuk aktif dalam bidang perniagaan.

“Memang sukar ketika awal-awal mahu berniaga, tetapi suami Mohd Hairulnizam Ramli, 35, juga sentiasa memberikan sokongan supaya tidak berputus asa, malah dia sendiri berhenti kerja kerana ingin menolong saya berniaga sampai sekarang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post POLIS TAHAN SEPASANG WARGA EMAS BANTU SIASATAN KES LANGGAR LARI
Next post PENOLONG PENGURUS BANK RUGI LEBIH RM28,000 AKIBAT PINJAMAN WANG TIDAK WUJUD