JPNS kesan lambakan pukat hantu di Tanjung Tuan, Port Dickson

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PORT DICKSON, 14 Mac – Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) mengesan lambakan pukat hantu di dasar laut Tanjung Tuan di sini sehingga memenuhi sekeliling terumbu karang yang berada di perairan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata lambakan pukat hantu itu akan menggugat hidupan marin sekiranya tidak dibendung sekali gus menyebabkan risiko kematian hidupan berkenaan termasuk spesies penyu.

“Pukat hantu itu ditemui penyelam ketika menjalankan aktiviti di dasar laut, ia bukan saja berisiko memerangkap hidupan marin, malah mampu ‘membunuh’ terumbu karang yang menjadi sumber makanan dan pembiakan ikan.

“Justeru pelbagai pemantauan dilakukan di sekitar perairan selain program dan kempen kesedaran diadakan JPNS bagi mendidik masyarakat untuk menjaga hidupan laut ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pemuliharaan biodiversiti marin di Pantai Tanjung Biru di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah JPNS Doreen Wee Siew Leen.

Bakri berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan di Kawasan Larangan Perikanan yang diwartakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 membabitkan perairan sejauh satu batu nautika dari pantai di sepanjang Tanjung Tuan.

Beliau berkata mereka yang melakukan sebarang penangkapan ikan di perairan ini termasuk memukat, memancing dan mengambil batu karang boleh dikompaun antara RM500 hingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25(b) Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu beliau berkata terdapat tiga kes dikesan melibatkan kecurian terumbu karang dalam tempoh tiga tahun ini dengan individu terlibat telah diberikan amaran bagi kesalahan pertama kali.

Sementara itu, Doreen berkata pelbagai aktiviti dilaksanakan pada program hari ini termasuk menyelam membersihkan terumbu karang dan melepaskan enam penyu jenis agar dan karah serta lima ekor anak ikan ‘yu bodo’ yang bertujuan memulihara biodiversiti marin di perairan itu.

Beliau berkata terdapat 46 spesies karang keras, 10 spesies karang lembut, dan 44 spesies ikan karang di perairan Port Dickson berdasarkan kaji selidik selaman JPNS bersama pakar penyelidik pada 2018.

“Port Dickson terkenal sebagai pusat pelancongan dan lokasi selam yang menarik berikutan adanya kepelbagaian terumbu karang yang cantik dan spesies hidupan marin termasuk tumbuhan akuatik (latok) dan mamalia akuatik, oleh itu penting untuk kita jaga spesies ini untuk generasi akan datang,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1159
Kongsi :
Previous post Melaka lebih bersedia ke arah negeri mampan dan relevan- KM
Next post Pecahkan sampul ilmu untuk terus ke hadapan – TYT
Ubah saiz-+=