JPNIN MELAKA LAKSANA LIMA AKTIVITI UTAMA SEMARAK SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN
Pengarahnya Intan Suhana Yusuff berkata aktiviti di bawah Program Malaysiaku Merdeka antaranya ialah Kempen Kibar Jalur Gemilang: 1 Rumah 1 Jalur Gemilang melibatkan kawasan komuniti dihiasi dengan bendera serta arca tanda mercu negara.
“Selain itu, kita turut membuat 10 ucapan membabitkan jentera perpaduan yang dizahirkan melalui kain rentang, poster elektronik dan rakaman video yang dikongsikan menerusi media sosial.
“Kita juga merekodkan 10 Vlog Perpaduan iaitu video pendek yang mempunyai elemen kemerdekaan, kenegaraan dan perpaduan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata di bawah aktiviti Bakat Merdeka pula, ia membabitkan aktiviti yang merujuk kepada representasi kebudayaan Melaka dan mampu menjadi tarikan kepada pengunjung menerusi persembahan, demonstrasi, pameran dan pertandingan.
“Bagi anak-anak pula terutama yang mendapat pendidikan awal di Tabika dan Taska Perpaduan, mereka boleh menyertai sama ada pertandingan busana tradisional, bercerita tentang tokoh kemerdekaan atau pemimpin masyarakat atau membuat video pendek.
“Justeru menerusi pelbagai aktiviti yang sedang dilaksanakan bermula 27 Julai hingga 16 Sept ini, ia akan melibatkan semua peringkat masyarakat terdiri daripada jentera perpaduan termasuk agensi kerajaan, badan swasta dan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, meningkatkan pemahaman terhadap sejarah kemerdekaan dan mempromosi perpaduan serta penghargaan terhadap kepelbagaian warisan kemerdekaan negara dalam kalangan rakyat,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.