JPJKK akan distruktur semula – Bukit Aman
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dicadang distruktur semula bagi penambahbaikan jabatan berkenaan secara keseluruhan, kata Pengarahnya Datuk Aidi Ismail.
Beliau berkata pihaknya masih dalam peringkat perbincangan untuk memperinci perkara itu dan ia akan dibentang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebelum dibawa ke peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Penstrukturan semula ini dicadangkan berikutan terdapat dua atau tiga fungsi antara jabatan yang bertindih contohnya Unit Kereta Peronda Polis yang sekarang ini di bawah JPJKK tetapi mungkin akan diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“Antara jabatan yang akan terlibat dalam proses perbincangan dan penstrukturan semula ialah JPJKK, KDNKA dan Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Aidi berkata setakat ini belum ada kata putus mengenai perkara itu namun laporan lengkap penstrukturan yang baharu itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan dua sebelum dibentang kepada Ketua Polis Negara.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan JPJKK akan dibubar seperti yang tular menerusi media sosial sebaliknya menegaskan unit pencegahan jenayah jabatan itu adalah elemen penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
JPJKK ditubuhkan pada 9 Jun 2014 bertujuan merangka strategi, melaksanakan inisiatif dengan objektif untuk mengurangkan jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan
Sebagai peneraju utama pencegahan jenayah bagi mengekalkan Malaysia aman dan sejahtera, jabatan itu juga berperanan dalam mencegah jenayah secara holistik ke arah kewujudan komuniti sejahtera.
Antara fungsi jabatan itu ialah mencegah jenayah, menghapus peluang jenayah, memperkasa komuniti dengan mendidik serta membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam mencegah jenayah, menangani persepsi negatif masyarakat dan penasihat komuniti.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.