Sorting by

×

JPJ periksa bas ekspres di depoh, terminal pastikan selamat beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KESIDANG 27 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memeriksa tiga depoh dan terminal bas ekspres di negeri ini dalam usaha memastikan kenderaan pengangkutan awam itu selamat dinaiki khusus sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, hasil pemeriksaan selama tiga hari bermula 25 April di semua depoh bas ekspres mendapati pengusaha mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

Menurutnya, antara perkara diberi perhatian ketika menjalankan pemeriksaan adalah tayar kenderaan mengikut piawaian selain lampu dan lampu isyarat berfungsi dengan baik.

“Bas ekspress sudah diperiksa dan tiada masalah daripada segi teknikal, akan diberi Slip Pemeriksaan Bas yang sah lakunya antara tujuh hingga 14 hari bergantung kepada keadaan tayar.

“Selepas tamat tempoh slip ini, bas perlu diperiksa sekali lagi demi memastikan kenderaan selamat dinaiki penumpang,” katanya.

MUHAMMAD Firdaus meneliti dokumen selepas selesai melakukan pemeriksaan pada bas ekspres

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan Depoh Bas Ekspres Delima di sini malam tadi.

Muhammad Firdaus berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan Slip Pemeriksaan Bas jika kenderaan terbabit dikesan mempunyai masalah teknikal.

Menurutnya, pengusaha perlu membaiki atau membetulkan kerosakan teknikal bas ekspres masing-masing sebelum Slip Pemeriksaan Bas dikeluarkan dan dibenarkan beroperasi semula.

“Selain depoh, anggota JPJ akan ditempatkan di semua terminal bagi membantu membuat pemeriksaan sebelum bas memulakan perjalanan.

“Penempatan anggota di depoh dan terminal bermula 28 April hingga 8 Mei bagi memastikan kelancaran operasi bas ekspres sepanjang perayaan Aidilfitri ini,” katanya,

Pada masa yang sama, pihaknya tidak akan teragak-agak mengeluarkan saman atau kompaun kepada pengusaha bas ekspress yang gagal mematuhi peraturan dan syarat keselamatan ditetapkan oleh JPJ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1627
Kongsi :
Previous post Terengganu umum 5 Mei cuti peristiwa, sekiranya Hari Raya 3 Mei – MB
Next post Kenyataan tular larangan laungan azan guna pembesar suara bukan di Malaysia
Ubah saiz-+=