Sorting by

×

JPJ MOBILE MASJID TANAH KUTIP LEBIH RM2 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 6 Disember – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menerusi perkhidmatan JPJ Mobile berjaya mengutip hasil berjumlah RM2,520,071.10 sepanjang tempoh percubaan bermula 23 Oktober 2023 hingga 31 Oktober lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang tempoh sama JPJ Mobile menerima hampir 10,000 pelanggan dengan 26,338 transaksi telah direkodkan.

Katanya, sepanjang tempoh percubaan hanya lima urus niaga ditawarkan iaitu pembaharuan lesen memandu, pembaharuian lesen vokasional, pendaftaran MyJPJ dan lesen digital, semakan dan bayaran saman JPJ serta pemeriksaan motosikal bagi cukai jalan tamat tempoh lebih tiga tahun.

“Sepanjang tempoh percubaan itu, Kerajaan Negeri telah membiayai kos ubah suai Pejabat Baharu JPJ Cawangan Masjid Tanah membabitkan kos RM200,000 melalui Pejabat Pembangunan Negeri Melaka.

“Projek tersebut dimulakan pada 14 Ogos dan siap sepenuhnya pada 28 Oktober, Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan projek pembangunan itu pada 18 November lalu. Cawangan baharu ini menawarkan 24 urusniaga iaitu 19 tambahan urusniaga berbanding sebelum ini menerusi JPJ Mobile,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat JPJ Cawangan Masjid Tanah yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Bangunan Lembaga Tabung Haji, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem serta Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

281
Kongsi :
Previous post PARKLAND AVENUE BY THE SEA PROJEK PEMBANGUNAN BERIMPAK TINGGI
Next post 1,675 PROJEK PEMBANGUNAN BERNILAI RM307 JUTA DILAKSANA DI MELAKA
Ubah saiz-+=