![6242446098576817139](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6242446098576817139.jpg?v=1739155925)
JPJ MELAKA TINGKAT OPERASI LEBIH MUATAN BABITKAN KENDERAAN BERAT
Pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff berkata langkah itu ekoran kesalahan membawa muatan lebih dikenal pasti antara yang kerap dilakukan kenderaan berat, sehingga dilihat boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain serta menjadi antara punca kemalangan maut.
“Bagi pemeriksaan atau operasi membabitkan kenderaan berat, kita akan adakan operasi khas kerana kalau menerusi pemeriksaan sekatan jalan raya yang biasa dilakukan, agak kurang kita dapat kesan kesalahan tersebut.
“Kita akan ada kawasan sasaran yang dikenali pasti sebagai lokasi tumpuan kenderaan berat dan kita juga akan adakan program khas bersama mereka bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kesalahan itu,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin berhampiran Melaka Sentral, di sini malam tadi.
Mengulas mengenai operasi khas sempena Tahun Baharu Cina dijalankan itu, Muhammad Firdaus berkata sebanyak 2,419 kenderaan diperiksa dan 267 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Beliau berkata 323 notis kesalahan turut dikeluarkan dan enam motosikal disita dalam operasi empat jam bermula 8 malam tadi, membabitkan 50 anggota dan pegawai JPJ.
Muhammad Firdaus berkata tiada lesen memandu merupakan kesalahan tertinggi dikesan iaitu sebanyak 94 kesalahan, diikuti tiada lesen kenderaan motor dan insurans (88) serta kesalahan teknikal lain seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin sisi (85). – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.