Sorting by

×

JPJ Melaka tidak ‘beri muka’ pada pemandu warga asing tanpa lesen

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KESIDANG 18 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka akan mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik membenarkan kenderaan mereka dipandu atau ditunggang warga negara asing tanpa lesen.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Sharif berkata pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Katanya, sebanyak 11 kenderaan telah disita menerusi dua Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) yang diadakan secara mengejut awal bulan ini.

“Berdasarkan risikan pihak kami menemukan beberapa kes yang sama melibatkan pemilik kenderaan iaitu orang tempatan yang memberi kebenaran kepada warga asing tanpa lesen untuk menggunakan kenderaan mereka.

“Jadi saya minta pemilik kenderaan dalam kalangan orang tempatan tidak memberi pinjam, sewa atau menjual kenderaan kepada warga asing yang tidak layak memiliki lesen.

“Begitu juga warga asing yang memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Pemeriksaan Bas di Depoh Ekspres Delima di Kawasan Perindustrian IKS Taman Malim Jaya, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, pihaknya melakukan operasi secara mengejut bagi mengelakkan modus operandi pemandu asing tanpa lesen itu berubah.

“Kita telah mengesan beberapa lokasi panas di sekitar negeri ini, namun tidak dapat perincikan secara khusus bagi mengelak modus operandi mereka ini berubah.

“Kerana kita tahu mereka ini juga mempunyai ‘informer’ mereka sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2545
Kongsi :
Previous post Bagasi berisi bahagian badan manusia ditemukan di tepi lebuh raya PLUS
Next post Op Pra TBC: JPJ keluarkan 407 notis dalam masa 4 hari
Ubah saiz-+=