Sorting by

×

JPJ Melaka keluarkan lebih 3,300 kompaun

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BUKIT KATIL 25 April – Sebanyak 3,396 kompaun dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2024 (HRA2024).

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, sepanjang 20 hari HRA2024 bermula 1 hingga 20 April sebanyak 10,003 kenderaan diperiksa.

“Tempoh operasi HRA2024 agak panjang berbanding tahun lalu dan hasil daripada penguatkuasaan dijalankan sebanyak 3,372 kesalahan dikesan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,396 notis kompaun dikeluarkan dengan 1,316 kenderaan diambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri JPJ Melaka di Ibu Pejabat JPJ negeri, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil.

Menurutnya, kesalahan paling tinggi dikesan sepanjang operasi itu membabitkan perlesenan kenderaan dengan 1,610 dan diikuti perlesenan pemandu sebanyak 871.

“Sepanjang operasi sama juga kita turut kesan kesalahan teknikal dan lebih muatan selain terdapat dua kes membabitkan pemalsuan Lesen Memandu Kompeten (CDL).

“Kita turut menyita 88 buah kenderaan termasuk enam kenderaan berat selepas didapati berada diatas jalan raya meskipun larangan sudah dikeluarkan.

“Antara kesalahan lain dikesan yang menyebabkan kenderaan ini disita adalah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat dan tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) serta insurans,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post Pengisian berciri keunikan identiti Melaka di Panggung Bangsawan
Next post Pusat Koreksional Jasin bantu tingkat pengeluaran nanas
Ubah saiz-+=