JPJ MELAKA KELUARKAN 27 NOTIS ARAH TIMBANG KE ATAS KENDERAAN LEBIH MUATAN
Pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff berkata notis berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan daripada jumlah itu, hanya 25 kenderaan terlibat hadir ke Ibu Pejabat JPJ Melaka untuk menjalani proses timbang manakala dua lagi kenderaan tidak mematuhi notis berkenaan.
“Daripada keseluruhan 25 kenderaan yang didapati lebih muatan itu, 18 kenderaan diambil tindakan di bawah Kaedah 89 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan manakala lima kenderaan lagi diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dalam operasi sama 64 notis turut dikeluarkan melibatkan kesalahan tiada lesen memandu kompeten (CDL) iaitu 14 notis, tiada lesen vokasional (lapan notis), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (18 notis), tiada perlindungan insurans (12 notis) dan kesalahan teknikal (12 notis).
Sementara itu Muhammad Firdaus berkata dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan sejak 1 Ogos hingga semalam, 2,016 kenderaan diambil tindakan dan 4,990 notis dikeluarkan ke atas pihak syarikat, pemilik dan pemandu atas pelbagai kesalahan kegagalan mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Beliau berkata tiga kesalahan tertinggi yang direkodkan sepanjang operasi itu ialah LKM tamat tempoh iaitu 723 notis, tiada CDL (700 notis) dan tiada perlindungan insurans (608 notis). – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.