Sorting by

×

JPJ cari jalan perbaiki sistem ujian memandu

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER MOLEK, 5 Jan – Segala kelemahan membabitkan sistem ujian memandu sejak akhir-akhir ini akan diambil perhatian serius oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia susulan rungutan orang ramai yang mendakwa terpaksa menunggu lama sehingga memakan masa tiga ke empat bulan untuk mendapatkan lesen memandu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu berkenaan, namun menjelaskan kelewatan tersebut adalah disebabkan terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) khusus yang ditetapkan dalam musim pandemik COVID-19.

Ujarnya, bagi mencegah penularan COVID-19 di pusat latihan dan ujian memandu, pihak JPJ terpaksa menetapkan kuota tertentu, yang mana ia menjadikan ujian untuk mendapatkan lesen memandu itu tidak berjalan lebih pantas seperti kebiasaan.

“Bila ada kuota, ia menjadikan masa itu lebih lambat. Jika dahulu mungkin dalam sebulan atau dua bulan sudah boleh selesai, tetapi kini kita terpaksa mengikut SOP dalam norma baharu.

“Jangan katakan orang ramai, bahkan istitut memandu juga merungut berhubung perkara ini. Namun, itulah hakikat yang perlu kita telan.

“Apa pun, kita akan meneliti lagi ruang tertentu yang boleh diperbaiki tanpa melanggar SOP. Kita akan lihat cara yang terbaik untuk memberi keselesaan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Tiang Dua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Negeri Datuk Roslan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Isham Ishak; Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Zailani Hashim.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sistem ujian memandu secara automasi atau ‘e-Testing’ yang dicadangkan sebelum ini, Ka Siong berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan untuk tindakan kementerian di bawahnya dalam masa terdekat.

Views:

1263
Kongsi :
Previous post Banjir di pantai timur, Johor diramal tidak seburuk 2006,2014 – MetMalaysia
Next post Syarikat arang batu diberi dua pilihan jika mahu terus operasi
Ubah saiz-+=