Jom sertai Sayembara Penulisan Rencana Perjalanan Pembentukan Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

MELAKA 29 Ogos – Warga Sabah yang berada Melaka dipelawa menyertai Sayembara Penulisan Rencana Perjalanan Pembentukan Malaysia bertema ‘Tokoh yang tak didendang’.

Sayembara sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2021 itu anjuran bersama portal berita, Sabah Taim dengan kerjasama Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Pengerusi Penganjur, Mohd Azrone Sarabatin berkata, penyertaan terbuka kepada semua ahli IPS, penulis muda termasuk yang berminat untuk menganggotai IPS, pembaca portal Sabah Taim, belia, pelajar universiti awam serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dan siswa guru Institut Pendidikan Guru (IPG) berasal dari Sabah.

Katanya, tokoh tidak didendang dalam konteks penganjuran sayembara ini adalah pejuang kemerdekaan yang kurang dikenali tetapi jasa mereka cukup besar dalam perjalanan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, antara tokoh itu adalah Panglima Alli Imam Abbas Sani , Raja Ismail, Raja Tebuk, Sharif Uthman, Raja Laut, Antanom, Sagunting, Langkap, Panglima Udun, Mat Sator, Kamunta, Datu Mamuda, Datu Kedunding, Andamun, dan Pengiran Indera Jaya.

“Program ini dianjurkan untuk memberikan manfaat, pendedahan dan pemangkin ke arah memupuk nilai-nilai murni dan perpaduan antara kaum menerusi penulisan kreatif tokoh berjasa tetapi kurang dikenali ke arah kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Penyertaan dibuka sejak 18 Ogos hingga 18 Oktober ini dengan ‘mood’ pertandingan dan penyampaian hadiah dijangka pada 31 Oktober adalah secara atas talian.

Hadiah pertama adalah wang tunai RM700, tempat kedua menerima RM500 dan RM300 untuk tempat ketiga serta dua hadiah saguhati masing-masing RM100, selain sijil penyertaan.

Panjang rencana minimum 500 patah perkataan dan maksimum 1,000 patah perkataan, hendaklah menggunakan format kertas A4, dalam jarak langkau sebaris setengah (1.5 spacing), menggunakan huruf Arial.

Setiap peserta dikenakan yuran penyertaan RM10 dan hanya dibenarkan menghantar sebuah karya.

Keterangan lanjut boleh menghubungi Mohd Azrone di talian 0128202825 atau emel [email protected].

Mohd Azrone yang juga Pengarang portal Sabah Taim berkata, objektif sayembara itu mencakupi membuka minda rakyat Sabah tanpa mengira usia, latar belakang kerjaya dan tahap ekonomi untuk bersama membuat kajian berhubung tokoh yang pernah didengar namanya tetapi belum didokumentasi perjuangan mereka.

Seterusnya katanya, mencungkil bakat dalam bidang penulisan rencana bertema sejarah Sabah, memberi ruang kepada peserta mendedahkan tokoh-tokoh sejarah belum dikenali tetapi berjasa ke arah pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, ia juga untuk memberi pengetahuan terhadap peristiwa bersejarah, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan tarikh-tarikh penting diingati oleh setiap peserta.

“Penganjur juga akan memastikan komitmen dan daya saing yang positif dalam kalangan peserta dalam mewujudkan semangat perpaduan antara kaum dan saling menghormati kerana kebanyakan tokoh pejuang kemerdekaan mempunyai pengikut kalangan masyarakat majmuk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

798
Kongsi :
Previous post COVID-19: Enam positif, Balai Polis Merlimau ditutup sementara
Next post Aidil Shahrin harap pemain Kedah kekal prestasi baik
Ubah saiz-+=