Sorting by

×

JOM RIUHKAN KENDURI RAKYAT DUN PENGKALAN BATU

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PENGKALAN BATU 19 Februari – Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu dipelawa untuk bersama-sama hadir bagi menjamu selera dan memeriahkan penganjuran kenduri rakyat bersempena Majlis Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di perkarangan tempat letak kenderaan Melaka Sentral, Ahad ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya menyasarkan program pada hari terakhir penganjuran WRUR DUN Pengkalan Batu itu akan dihadiri lebih 10,000 penduduk sekitar.

Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, dua ekor lembu akan ditumbangkan bersempena program itu, selain pilihan aneka lauk lain berasaskan ayam dan ikan.

“Penyediaan hidangan akan dilakukan secara rewang oleh penduduk, kita mahu gunakan sepenuhnya medium WRUR untuk menyantuni rakyat dan mengeratkan lagi hubungan antara kaum tanpa mengira usia.

“Bukan sahaja orang dalam DUN Pengkalan Batu, penduduk sekitar juga dijemput hadir, bukan sahaja menjamu selera kita sediakan pelbagai lagi aktiviti menarik untuk anda semua,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, antara aktiviti menarik pada hari terakhir WRUR DUN Pengkalan Batu adalah Briskwalk Langkah Satria dengan jangkaan penyertaan lebih 1,000 orang.

Menurutnya, lebih menarik apabila pada hari sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dijadualkan akan menghadiri Program Captain Cruise melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Peringgit, Memorial Tun Abdul Ghafar Baba selain menziarahi pesakit terlantar.

“Pada perasmian penutup juga turut akan berlangsung beberapa penyampaian anugerah ikon antaranya Anugerah Ikon Belia Pengkalan Batu, Anugerah Ikon Sukan Pengkalan Batu dan Anugerah Seni Pengkalan Batu termasuk juga Peluncuran PARAKOM DUN Pengkalan Batu,” katanya.

“Warga Pengkalan Batu khususnya dialu-alukan untuk hadir memeriahkan kenduri rakyat dan Majlis Perasmian Penutup WRUR DUN Pengkalan Batu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

294
Kongsi :
Previous post POLIS RAMPAS SYABU, PIL MDMA BERNILAI LEBIH RM4 JUTA DI SUNGAI PETANI
Next post PERKASA USAHA PELIHARA WARISAN NEGARA