JOM MUAT TURUN APLIKASI ASAHAN SEJAHTERA
ASAHAN 7 Januari – Aplikasi Asahan Sejahtera dilancarkan pertengahan Disember lalu dijangka akan memberikan manfaat kepada 20,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, aplikasi itu menjadi platform untuk menghebahkan maklumat berhubung berita terkini dan aktiviti DUN, perkhidmatan atau inisiatif disediakan Kerajaan Negeri kepada rakyat.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, ketika ini pihaknya giat memberikan penerangan serta latihan kepada petugas barisan hadapan berhubung kaedah pengendalian aplikasi terbabit.
“Kami mahu petugas barisan hadapan benar-benar memahami cara pengendalian aplikasi ini, sekali gus melancarkan operasinya rakyat pula dapat memanfaatkan kemudahan disediakan dengan sepenuhnya.
“Seramai 15,000 ke 20,000 penduduk DUN Asahan disasarkan akan memuat turun aplikasi Asahan Sejahtera ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, aplikasi berkenaan juga boleh digunakan penduduk untuk membuat aduan dan menyuarakan sebarang isu membabitkan kejiranan mereka.
“Insya-Allah aduan diterima menerusi aplikasi ini akan diselesaikan dalam tempoh 14 hari. Orang Asahan juga boleh memuat turun pelbagai borang berkaitan permohonan bantuan agensi atau jabatan kerajaan menerusi aplikasi ini.
“Jadi saya mempelawa penduduk Asahan segera memuat turun aplikasi ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.