‘JOM LAYAN TREK TAMAN EKSTREM CHINCIN’
RIM 9 September – Peminat basikal bukit (MTB) dan basikal lasak dipelawa untuk mengambil bahagian pada penganjuran Jamboree @Chinchin X Helaz dijadual diadakan di Taman Ekstrem Chinchin pada 26 Oktober depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, perlumbaan basikal lasak itu akan membabitkan laluan sejauh 30 kilometer (km).
Katanya, Jamboree @Chinchin X Helaz dibahagikan kepada 14 kategori dan penyertaan dibuka bagi mereka berusia 18 hingga 60 tahun.
“Antara kategori yang dibuka adalah Lelaki Junior (bawah 18 tahun); Terbuka Lelaki (19-29 tahun); Lelaki Master A (30-34 tahun) Lelaki Master B (35-39 tahun); Lelaki Veteran A (40-44 tahun); Lelaki Veteran B (55-59 tahun); Lelaki Senior A (50-54 tahun) dan Lelaki Senior B (55-59 tahun).
“Selain itu, perlumbaan ini juga membuka kategori OTAI Legend (60 tahun ke atas); Master Wanita (35 tahun ke atas); Heavyweight Lelaki (90kg ke atas); Heavyweight Wanita (80kg ke atas) dan Fat Bike.
“Mereka berminat boleh membuat pendaftaran sekarang sehingga 18 Oktober ini dengan kadar yuran penyertaan sebanyak RM80 seorang dan ia terhad kepada 1,000 peserta terawal sahaja,” katanya.
Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, program itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Helaz Bike Shop dan Japerun Rim.
Menurutnya, selain aksi peminat basikal, pelbagai aktiviti seperti sampingan turut diatur buat pengunjung seperti Camping & Campfire; BBQ & Pot Luck; CPR Fun Run; Zumbathon; Pertandingan E-Sport; Mewarna; Memancing, Push Bike dan cabutan bertuah.
“Untuk maklumat lanjut orang ramai yang berminat boleh menghubungi di penganjur di talian 014-690 4303 (Anis),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.