‘Jom jumpa artis di Starvendors Foodstival Melaka’
AYER KEROH 26 Mei – Orang ramai berpeluang untuk beramah mesra bersama 50 selebriti terkenal tanah air sepanjang penganjuran Starvendors Foodstival Melaka 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bermula hari ini hingga Ahad nanti.
Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors Event Sdn. Bhd. Datuk Saripah Raziah atau lebih dikenali sebagai Ifa Raziah berkata, selain menampilkan artis terkenal pelbagai aktiviti menarik disediakan dan yang paling mencuri tumpuan adalah ‘sakau duit’ untuk 100 pengunjung terawal hadir ke festival itu.
“Semua selebriti ini akan berkampung selama tiga hari di Melaka, antara artis ‘lejen’ yang kita bawa termasuklah penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, pelakon dan penerbit, Datuk Ziela Jalil, kumpulan Ukays dan ramai lagi.
“Setiap pengunjung akan menerima ‘goodies bag’ percuma, kita akan mula buka pintu seawal jam 10 pagi untuk festival ini dan pengunjung dinasihatkan untuk datang seawal jam 8 pagi.
“Setiap malam akan ada konsert dijayakan lapan barisan artis tanah air bagi menghiburkan pengunjung. Pada hari terakhir festival kita akan bawa geng motosikal berkuasa tinggi yang adakan berkonvoi dari Bandar Melaka ke MITC,” katanya ketika ditemui Melaka Hari ini (MHI), di sini, hari ini.
Katanya, festival kali ini adalah siri jelajah ke-11 yang dianjurkan, sekali gus menjadi platform kepada orang ramai untuk bertemu artis kegemaran mereka.
“Sebelum ini pengunjung hanya melihat artis kegemaran mereka di media sosial sahaja, tetapi dengan adanya festival ini mereka (pengunjung) dapat bersemuka dan bergambar dengan artis.
“Kita harap pengunjung juga dapat memberi sokongan kepada artis tempatan kita ini dengan membeli belah produk atau barangan yang dijual mereka semasa festival berlangsung.
“Pelbagai jenis makanan dan minuman menarik turut dijual pada festival ini mengikut negeri yang terlibat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.