Jom cuci mata di Merlimau Night Market
MERLIMAU 28 April – Pasar Malam Merlimau (Merlimau Night Market) menjadi kawasan tumpuan terbaharu buat warga Merlimau dan sekitar untuk menghidupkan suasana malam di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pasar malam itu mengumpulkan peniaga-peniaga tempatan dan artis-artis jalanan untuk menghiburkan pengunjung.
Katanya, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai barangan termasuk barangan bundle, hasil kraftangan dan pelbagai lagi barangan yang boleh didapati di Merlimau Night Market itu.
“Merlimau Night Market menjual pelbagai juadah makanan, baju bundle, jualan kraftangan rotan dan semuanya dijual dengan harga mampu milik.
“Paling istimewa yang terdapat di sini adalah persembahan dari busker atau artis jalanan, turut dijual haiwan peliharaan seperti iaitu arnab dengan harga berpatutan.
“Bukan itu sahaja, malahan di Merlimau Night Market yang beroperasi sepanjang Ramadan ini turut menjual kelengkapan hari raya dan masa beroperasi dari jam 5 petang hingga 12 malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambah Muhamad Akmal, dengan kawasan yang luas pengunjung tidak perlu risau untuk bersesak-sesak malahan infrastruktur bangunan menempatkan Merlimau Night Market itu juga menyediakan tandas dan surau.
Katanya, pengunjung yang membawa keluarga selepas penat berjalan boleh menikmati juadah di kedai-kedai makan di Merlimau Night Market dengan pelbagai jenis makanan yang ada.
“Pengunjung yang bawa anak-anak pun boleh bermain permainan disediakan dengan pemantauan ibu bapa, selain kita juga sediakan tempat untuk warga Merlimau khususnya untuk menjana ekonomi di Merlimau Night Market ini,” katanya.
Menjelang Aidilfitri ini, Merlimau Night Market akan beroperasi bermula hari ini sehingga malam raya bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam.
Manakala untuk hari biasa, ia akan dibuka Jumaat hingga Ahad pada waktu yang sama.
uran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.