
JOM ‘BERENDAM’ DI MELAKA WONDERLAND THEME PARK 20 FEBRUARI INI
AYER KEROH 18 Februari – Mereka yang gemar ‘berendam’ dipelawa untuk bersantai di Melaka Wonderland Theme Park, menawarkan kemasukan percuma bersempena cuti umum Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara, 20 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland Theme Park, Seow Cheng Swee berkata, bagaimanapun tawaran masuk percuma itu terhad kepada 4,000 orang pengunjung terawal sahaja.
Katanya, mereka bercadang untuk bersantai di taman tema air itu pada 20 Februari ini perlu mengikuti beberapa syarat ditetapkan terutamanya membuat pendaftaran awal dengan mengimbas kod QR disediakan pihaknya.

KETUA Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland Theme Park, Seow Cheng Swee.
“Selesai isi butiran diperlukan jangan lupa untuk ambil tangkap layar dokumen berkenaan yang amat penting dan perlu ditunjukkan kepada petugas kami pada hari berkenaan sebelum dibenarkan masuk. Seorang hanya satu pendaftaran bukan seorang daftar untuk rakan atau ahli keluarga yang lain.
“Cuma kemasukan sahaja percuma, untuk perkhidmatan lain, makan dan minum atau pembelian cenderahati kos berkenaan perlu ditanggung sendiri oleh pengunjung dan tidak dibenarkan membawa makanan dari luar taman tema ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, pengunjung berminat untuk mencuba aktiviti riadah air di tasik berhampiran juga perlu perlu membayar harga tiket dikenakan mengikut perkhidmatan ditawarkan.
“Bagi mengelakkan sebarang kesulitan, saya menasihatkan orang ramai supaya membuat pendaftaran awal, sekali gus melancarkan lagi proses kemasukan ke taman tema air pada hari berkenaan.
“Datang awal, kami akan mula beroperasi pada 9 pagi dan tutup pada jam 4 petang. Perlu ingat tawaran ini terhad kepada 4,000 pengunjung terawal sahaja,” katanya.
Selain masuk percuma, pihaknya turut menawarkan promosi bagi pelbagai jenis barangan cenderahati dan kad keahlian (membership) taman tema air itu.
“Kad keahlian biasanya dijual pada harga RM200 tetapi pada hari berkenaan kita beri potongan cuma RM120 sahaja untuk kemasukan yang sah selama setahun. Sementara itu cenderahati seperti patung maskot Melaka Wonderland Theme Park pula ditawarkan cuma RM14 berbanding RM20 pada hari biasa,” katanya.

Melaka Wonderland Theme Park adalah antara lokasi tumpuan pelancong di negeri ini yang memperoleh pelbagai pengiktirafan daripada badan dan agensi berkenaan.
Antara pengiktirafan diterima Melaka Wonderland Theme Park and Resort adalah daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi ‘largest lighting event in water theme park’, ‘First lighting event in water theme park,’ dan ‘first theme park with halal certificate’.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.