Sorting by

×

Johan futsal dapat hadiah kambing

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 26 Oktober – Sudah menjadi kebiasaan piala, medal atau wang tunai akan menjadi rebutan ataupun hadiah bagi setiap kejohanan sukan yang dipertandingkan.

Namun berlainan pula hadiah yang ditawarkan pada Kejohanan Futsal Tertutup Melaka Parlimen Tangga Batu (Anak Muda 2023) apabila seekor kambing menjadi taruhan buat pasukan yang dinobat sebagai johan pertandingan.

Menurut penganjur kejohanan itu Amar Musa, 30, cadangan menjadikan kambing antara hadiah tempat pertama adalah idea spontan ketika sesi perbincangan berlangsung dan tidak sangka ia dipersetujui.

“Memang ketika dia memberi cadangan itu, kedengaran agak mencuit hati kerana tidak pernah dibuat orang diberikan kambing atau haiwan ternakan sebagai hadiah.

“Mengikut perancangan asal, hadiah tempat pertama hanya wang tunai RM3,000, piala dan medal sahaja tetapi mungkin kerana saya merupakan seorang penternak kambing, jadi saya cadangkan agar haiwan itu menjadi antara hadiah,” katanya.

Menurutnya, kejohanan yang dianjurkan oleh Aboy Cuci Aircond Services dengan kerjasama Belia Madani dan Kelab Rakan Muda Tangga Batu itu disertai 84 pasukan dari seluruh Melaka dan berlangsung pada Ahad lalu.

“Awalnya kami sasarkan penyertaan hanya untuk 60 pasukan tetapi ianya diluar jangka apabila mencecah kepada 84 pasukan keseluruhan.

“Penyertaan menggalakkan ini tidak mustahil susulan daripada hadiah kambing yang ditawarkan membuatkan ramai ingin mencuba,” katanya.

Ujar Amar, untuk tahun akan datang penganjuran kejohanan mungkin juga akan mencipta kelainan daripada segi hadiah yang ditawarkan.

Img 20231025 Wa0004
EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berucap ketika merasmikan kejohanan tersebut.

Terdahulu, majlis perasmian kejohanan itu disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam.

Johan pertandingan dimenangi pasukan Bukit Rambai FC manakala Paya Rumput FC tempat kedua dan tempat ketiga pula dimenangi Bertam Ulu FC.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1638
Kongsi :
Previous post Fasiliti untuk rakyat rancak dibangunkan di Duyong
Next post Bahasa kolokial, dialek perlu dipertahan agar tidak pupus
Ubah saiz-+=