Sorting by

×

JOHAN FUTSAL  BAWA PULANG HADIAH LEMBU

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BATU BERENDAM 5 Februari – Meneruskan keunikan penganjuran tahun lalu, Kejohanan Futsal Tertutup Melaka Edisi Ke-2 kembali dengan menawarkan hadiah berbaloi iaitu seekor lembu dan wang tunai RM3,000 kepada pasukan bergelar johan.

Menurut penganjur kejohanan, Amar Musa, 31, keunikan hadiah yang ditawarkan tahun ini iaitu seekor lembu yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000 itu berjaya menarik penyertaan sebanyak 90 pasukan.

Katanya, pada penganjuran siri pertama kejohanan itu tahun lalu pihaknya menawarkan hadiah seekor kambing serta wang tunai buat johan.

“Sebenarnya penganjuran siri pertama adalah titik tolak kepada penganjuran edisi kedua Kejohanan Futsal Tertutup Melaka ini.

“Kita menerima maklum balas positif daripada peserta dan permintaan tinggi untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan selain menjadi gelanggang untuk bersaing secara sihat bagi sukan futsal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Amar yang juga Pengurus merangkap Pemilik Aboy Cuci Aircond Services berkata, pihaknya mahu mencipta keunikan dan mencari kelainan pada setiap siri kejohanan yang dianjurkan.

“Apabila kita memaklumkan hadiah kali ini adalah seekor lembu dan wang tunai, ramai yang mahu turut serta hingga terpaksa mengehadkan pendaftaran kepada 90 pasukan sahaja.

“Berbanding tahun lepas, sebanyak 84 pasukan yang menyertai dan kita harapkan pada tahun mendatang, kita akan tawarkan haiwan lain sebagai taruhan,” katanya.

Terdahulu, majlis perasmian kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Batu Berendam, 2 Februari lalu disempurnakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan negeri, Datuk Rais Yasin.

Juara kejohanan menjadi milik NJ Futsal diikuti Pewaka FT ditempat kedua yang membawa pulang RM2,000 beserta medal, sementara itu ketiga milik pasukan BRFC membawa pulang RM1,000 beserta medal, manakala keempat milik pasukan Bertam Ulu Junior dengan hadiah kemenangan RM500 beserta medal dan hamper.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

79
Kongsi :
Previous post WANITA HILANG DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DI PANTAI REMIS
Next post LEBIH 1,000 BELIA MERIAHKAN KARNIVAL SUKAN ZON DUN AYER LIMAU