
JMK PELUANG KOPERASI JANA PENDAPATAN, BANTU GOLONGAN SASARAN
AYER KEROH 26 Mac – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka akan terus menganjurkan program Jualan Madani Koperasi (JMK) di lokasi tumpuan dalam usaha membantu koperasi di negeri ini menjana pendapatan.
Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, JMK dilihat sebagai platform yang sesuai untuk mempromosi dan memasarkan produk keluaran koperasi.
Katanya, menerusi inisiatif seumpama itu diharapkan akan membantu koperasi di Melaka menjadi semakin berdaya saing dan aktif dalam aktiviti menjana pendapatan.
“Pada kebiasannya JMK ini diadakan di jabatan-jabatan kerajaan yang menjadi tumpuan orang ramai bagi menyelesaikan urusan atau taman-taman perumahan.
“Usaha ini juga selari dengan hasrat kerajaan yang menyalurkan bantuan subsidi kepada ketua isi rumah seterusnya sampai kepada penerima iaitu golongan B40,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan pada Program JMK dan Walkabout Bazar Aidilfitri 2025 di Menara Persekutuan, di sini, semalam.
Menurut Tuminah, peluang untuk menyertai JMK dibuka kepada koperasi berdaftar, aktif dan bersungguh-sungguh mahu meningkatkan lagi pendapatan mereka.
“Sekurang-kurangnya pada setiap kali penganjuran JMK kita akan membuka peluang kepada 10 koperasi menawarkan pelbagai pilihan produk. Tumpuan bukan sahaja kepada makanan tetapi produk lain seperti pakaian, alat solek dan kraftangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.