Sorting by

×

JKR pantau cerun, jalan laluan dinaiki air

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 16 April – Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka sudah diarahkan untuk melakukan pemeriksaan cerun berisiko runtuh dengan lebih kerap susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pemeriksaan itu perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini boleh membahayakan pengguna jalan raya.

“Selia Selenggara turut diminta untuk bersama-sama JKR menjalankan pemantauan di lokasi kerap berlaku gelongsoran atau runtuhan, namun begitu setakat ini belum ada kawasan yang dikategorikan sebagai kritikal atau berisiko.

“Antara lokasi dikenal pasti adalah cerun di Taman Muzaffar Shah (TMS), Ayer Keroh yang terletak di Lebuh Ayer Keroh. Sebelum ini memang berlaku runtuhan akibat pembinaan di kawasan itu, namun JKR bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sudah diminta berbincang serta mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Hameed, JKR juga diminta memantau laluan yang kerap ditenggelami air setiap kali hujan lebat yang jika dibiarkan boleh menjejaskan struktur jalan.

“Saya mohon JKR untuk mengambil tindakan pantas setiap kali berlakunya limpahan air di atas jalan raya ini untuk pastikan aliran trafik bergerak lancar dan selamat untuk dilalui oleh pengguna jalan raya.

“Malah sekiranya perlu menutup jalan atau membuat lencongan ia perlu diuar-uarkan segera agar masyarakat dan pengguna jalan raya tahu serta peka laluan mana yang boleh digunakan sebagai alternatif untuk sampai ke destinasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

191
Kongsi :
Previous post Paras air di Empangan Durian Tunggal naik hampir 10 peratus
Next post Suspek kes tembak KLIA cuba larikan diri ke luar negara
Ubah saiz-+=