JKNM pantau penyakit berkaitan cuaca panas
AYER KEROH 19 Mac – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) melakukan pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas meskipun Melaka tidak tersenarai dalam status cuaca panas Tahap 1.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, tiga penyakit berkaitan cuaca panas yang dipantau itu adalah kekejangan/sakit otot (heat cramp), kelesuan haba (heat exhaustion) dan strok haba (heat stroke).
“Daripada analisa penyakit akibat cuaca panas yang dipantau di seluruh hospital dan klinik kesihatan di Melaka sehingga minggu epidemiologi ke 11 didapati tiada kes penyakit akibat cuaca panas.
“Namun begitu pemantauan penyakit ini masih diteruskan dari semasa ke semasa malah JKNM sentiasa peka dengan keadaan semasa cuaca.
“Manakala bagi pengurusan kesihatan kes akibat cuaca panas, JKNM akan menggunakan garis panduan Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2021,” katanya.
Menurut Hee Sem, JKNM juga menasihatkan orang ramai agar peka dengan situasi semasa dan menjaga kesihatan diri terutamanya golongan yang berisiko.
“Golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik diingatkan untuk mengambil langkah pencegahan dan berjaga-jaga bagi mengelakkan kesihatan terjejas khususnya pada bulan Ramadan ini.
“Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah kekalkan hidrasi badan dengan pengambilan air kosong, elakkan berada di luar rumah sekiranya tidak perlu, gunakan payung atau topi ketika berada di luar bangunan serta kurangkan pengambilan air bekarbonat serta kafein bagi mereka yang berpuasa,” katanya.
Jelasnya, bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda penyakit akibat haba seperti dinyatakan hendaklah segera ke klinik kesihatan atau hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Selain mengamalkan langkah pencegahan bagi kesihatan diri orang ramai juga diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh merisikokan orang sekeliling,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.