JKN sasar 55 peratus kes pembebedahan tertunggak diselesaikan hujung tahun
BANDA HILIR 4 Jun – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menyasar akan menyelesaikan 55 peratus daripada pembedahan yang tertangguh yang mencecah ribuan kes menjelang akhir tahun ini.
Pengarahnya Dr Rusdi Abd Rahman berkata, jumlah tertunggak itu direkodkan antara tempoh Januari 2021 hingga awal tahun ini.
Beliau berkata, bagi menyelesaikan kes pembedahan tertangguh itu pihaknya sudah memulakan pada tahun lalu namun ianya terganggu pada pertengahan tahun susulan varian delta yang merebak.
“Kes tertunggak memang banyak, kita berdepan bukan sekadar ratusan tetapi ribuan kes dan ini bukan hanya berlaku di Hospital Melaka sebaliknya, hospital lain di negara ini turut berdepan perkara sama termasuk dunia.
“Melaka kita tetapkan sasaran untuk semua ‘backlog’ akan selesai pada hujung tahun ini, kita boleh bagi komitmen ini kerana tahun lalu pihaknya dapat selesaikan hampir 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Trak Wellnes On Wheel (WOW) yang dirasmikan oleh EXCO Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, hari ini.
Dr Rusdi berkata, beberapa prosedur dijalankan pihaknya untuk mengenal pasti keupayaan dalam menyelesaikan segera pembedahan tertangguh ini termasuk mendapatkan bantuan hospital swasta di Melaka dan juga bantuan dari hospital negeri lain.
“Sebanyak 20 hingga 25 peratus kita serahkan kepasa hospital swasta dan bakinya 30 hingga 35 peratus lagi kita selesaikan.
“Kalau sudah tertunggak sehingga ribuan memang menjejaskan oleh sebab itu kes kecil kita bawa ke hospital daerah yang besar di Hospital Melaka termasuk mendapatkan bantuan pakar dari hospital berdekatan seperti Hospital Tampin Hospital Muar serta Hospital Serdang,” katanya.
Mengulas lanjut Rusdi berkata, walaupun begitu, pihaknya turut berdepan kekangan masa dalam menyelesaikan kesemua pembedahan tertangguh ini kerana dewan bedah hanya boleh beroperasi selama lapan jam sehari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.