JKN Melaka ambil sampel ‘sup daging telur lalat’
REMBIA 16 Mac – Sampel daripada sup daging didakwa tercemar dengan telur lalat yang dijual seorang peniaga di sebuah bazar Ramadan di daerah Melaka Tengah sudah diambil Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka untuk tindakan lanjut.
Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, selain pengambilan sampel pihaknya juga turut mengambil keterangan daripada pengadu dan peniaga berhubung kejadian yang berlaku.
“Sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian yang berlaku pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah kemudian pergi ke premis sup terbabit pada pagi Jumaat untuk menjalankan pemeriksaan serta pengambilan sampel.
“Untuk kedai atau gerai yang kita terima aduan, pengambilan sampel akan dilakukan yang mana ia kemudiannya akan dihantar ke makmal bagi diuji.
“Tujuannya adalah untuk mengetahui sama ada makanan yang terbabit mengandungi mikroorganisma atau bahan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan Walkabout Bazar Ramadan: Keselamatan Makanan Di Bazar Ramadan 2024, di Bazar Ramadan Alor Gajah, di sini, semalam.
Sesi ‘walkabout’ itu diketuai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Tpr. Saifuddin Abdul Karim.
Sebelum ini, tular di laman sosial oleh seorang pengguna yang mendakwa kecewa apabila sup daging dibelinya di sebuah bazar Ramadan di Semabok terdapat telur lalat di bahagian tulang.
Bukan itu sahaja, juadah berkenaan juga didakwa sudah berbau dan tidak selamat untuk dimakan.
Dr. Ruzita berkata, setakat ini tiada tindakan atau kompaun diambil JKN terhadap peniaga berusia 69 tahun itu kerana masih menunggu keputusan ujian sampel.
“Untuk waktu ini, kita berikan amaran terlebih dahulu sebelum tindakan diambil sejurus keputusan sampel sup daging diperoleh. Malah ketika kunjungan ke premis itu JKN turut dapati ada beberapa perkara yang tidak patuh.
“Kebiasaan keputusan ujian akan diketahui dalam tempoh dua atau tiga minggu selepas sampel yang diambil dihantar ke makmal,” katanya.
Jelasnya, sepanjang Ramadan ini, JKM juga sudah mengambil sampel di beberapa premis perniagaan makanan yang lain antaranya restoran, hotel dan bazar Ramadan yang lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.