Sorting by

×

JKN giat latihan, simulasi menjelang penerimaan vaksin COVID-19 esok

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 23 Feb – Bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melaksanakan pelbagai latihan termasuk simulasi dan tatacara pengendalian sebagai persiapan menerima vaksin COVID-19 esok.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Keluarga JKN, Dr Nazatul Shima Mokhtar berkata, sejak pengumuman program vaksinasi terbesar itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangka pelbagai strategi bersesuaian terutama membabitkan latihan persiapan menerima bekalan vaksin pertama ke negeri ini.

Katanya, pemberian suntikan vaksin COVID-19 itu dilakukan secara berperingkat membabitkan fasa pertama kepada petugas barisan hadapan manakala fasa kedua membabitkan warga emas atau golongan rentan dan fasa ketiga, individu berusia 18 tahun ke atas, yang ketiga-tiganya ditawarkan secara sukarela.

“Petugas kesihatan diberi latihan persiapan yang merangkumi latihan proses penghantaran vaksin ke fasiliti; latihan di pusat penyimpanan dan melaksanakan simulasi bagi mengenal pasti permasalahan yang akan timbul serta tindakan yang boleh diambil untuk penambahbaikan sekiranya berdepan masalah.

“Bagi fasa pertama yang melibatkan petugas barisan hadapan, kita telahpun menerima senarai itu dan menjadualkan tarikh dan lokasi temu janji di fasiliti ditetapkan.

“Bagi fasa kedua dan ketiga, kita juga sudah membuat perancangan dan persediaan awal untuk memberikan vaksin kepada lebih 600,000 individu di Melaka,” katanya ketika sesi Dialog 1.30 Slot Kesihatan ‘Program Imunisasi Kebangsaan: Bagaimana Pelaksanaan?’ di MelakaFM sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kaedah pelaksanaan vaksin berkenaan, setiap individu akan disuntik sebanyak dua kali.

“Bagi dos kedua, mereka akan diberikan suntikan dalam tempoh 21 hari selepas menerima dos pertama,” katanya.

Bagi perincinan mengenai pemberian suntikan ini, Dr Nazatul Shima berkata, orang ramai perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan menerusi aplikasi itu orang ramai akan mendapatkan temu janji seperti tarikh dan lokasi sebelum dipanggil ke fasiliti terbabit.

“Orang ramai juga boleh menggunakan talian utama dan melayari laman sesawang yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat bagi membolehkan orang ramai mendaftar untuk menerima suntikan tersebut.

“KKM juga menyediakan kemudahan pendaftaran di klinik kesihatan serta kaedah ‘outreach’ yang mana pegawai kesihatan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk turun ke kawasan pedalaman dan luar bandar untuk membantu pendaftaran sebanyak mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk mengambil suntikan itu bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk kesihatan seluruh ahli keluarga.

Jelasnya, dengan cara itu ia sekali gus mencapai 70 hingga 80 peratus daripada populasi penduduk di negeri ini menerima suntikan itu untuk membentuk imuniti kelompok yang sihat serta mengawal wabak COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Inisiatif murni Pemuda Jasin sedia Projek Ambulans Rakyat percuma untuk asnaf
Next post Suntikan vaksin COVID-19 ambil masa 15 hingga 30 minit- Dr Adham
Ubah saiz-+=