JKM siasat dakwaan hidangan PPS busuk, tak berkualiti
SUNGAI RAMBAI 8 Mac – Siasatan terperinci akan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung dakwaan mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Rambai, dihidangkan makanan tidak berkualiti termasuk lauk ikan sudah busuk.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan memberi jaminan siasatan terpeinci akan dijalankan JKM.
“Sebagai Exco saya tidak akan berkompromi , bagaimana perkara ini boleh berlaku. Sekiranya benar tindakan sewajarnya kepada pembekal makanan yang terbabit akan diambil.
“Kerajaan memperuntukkan RM20 sehari bagi setiap mangsa banjir, jadi seharusnya makanan yang dihidangkan berkualiti dan mempunyai nutrisi,” katanya selepas turun padang melawat mangsa banjir di PPS Sungai Rambai, di sini.
Beliau menasihatkan pembekal agar lebih peka, kerana mereka diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk membekalkan makanan kepada rakyat yang ditimpa musibah.
Kalsom berkata turut dipandang serius adalah dakwaan makanan lambat dihantar ke PPS, berikutan itu pihaknya akan mencari penyelesaian agar perkara sama tidak berulang.
Katanya susulan dua dakwaan itu JKM dibantu pihak Japerun sudah diminta melakukan pemantauan di PPS lain sekitar negeri ini untuk mendapatkan maklum balas daripada mangsa.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai di sini, mendakwa makanan tengah hari yang dibekalkan kepada mereka tidak berkualiti.
Seorang mangsa dari Kampung Batu Gajah Pasir, Zariffudin Abdul Hamid, 45, berkata, isterinya mengalami cirit-birit selepas makan nasi berlauk ikan kembung yang dibekalkan, dalam kejadian Ahad lalu.
Menurutnya, ketika membuka pek makanan tersebut, dia mendapati keadaan ikan sudah berbau busuk sebelum mengambil keputusan untuk membuang hidangan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.