JKM Melaka terima lebih 4,000 aduan menerusi kod QR Prih@tinJkmMelaka
Pengarah JKM Melaka Zulkifli Hanifah berkata antara aduan tertinggi diterima adalah membabitkan 2,330 kes berkaitan kelulusan bantuan kewangan, Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling (719 kes) dan Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) (415 kes).
“Aduan lain melibatkan kes kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, kanak-kanak terlibat dengan kes akhlak, taska dan pusat tidak berdaftar, kes di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT), kes orang papa selain perkhidmatan Klien Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR).
“Setakat ini, 99 peratus aduan telah diambil tindakan dan semua aduan yang diterima akan diberi maklum balas oleh JKM dalam tempoh tujuh hari dengan setiap aduan itu diteliti dan ditapis untuk melihat kesesuaian serta kelayakan sekiranya benar-benar memerlukan bantuan yang dinyatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kerusi roda khas kepada seorang pelanggan JKM Melaka iaitu pesakit terlantar, Yaakub Ibrahim,71, di Sungai Rengi, Merlimau di sini hari ini.
Zulkifli berkata masyarakat boleh menyalurkan aduan segera menerusi imbasan kod QR terbabit yang boleh didapati di laman sosial rasmi Facebook JKM Melaka jika melihat ada pihak atau jiran mereka yang memerlukan bantuan.
Katanya sistem aduan menerusi kod QR itu adalah yang pertama dibangunkan JKM Melaka dan diharap menjadi program contoh kepada negeri-negeri lain bagi menambah baik kualiti sistem penyampaian dan perkhidmatan yang lebih mudah untuk dimanfaatkan masyarakat.
“Melalui penggunaan kod QR yang sangat mudah itu, orang ramai hanya melengkapkan borang dengan mengisi butiran seperti nama, alamat, daerah, nombor telefon dan isu atau aduan yang ingin dikemukakan.
“Kita juga akan memperluas program ini kepada masyarakat di setiap peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar lebih ramai mengetahui kod QR ini sekali gus memudahkan mereka menyalurkan aduan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.